Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Muktamar PAS yang ke-50 berjalan dengan lancar. Tahniah diucapkan kepada para perwakilan yang berjaya memanaskan muktamar dengan perkara-perkara yang proaktif dan dinamik, demi melangsungkan perjuangan membela nasib golongan tertindas dalam negara kita, melalui wadah keadilan Islam yang dibawa oleh PAS.

Saya selaku seorang perwakilan negeri ke Muktamar Pemuda Pusat, kesal dengan ucapan dasar Abdul Hadi Awang yang hanya pandai menuding jari kepada pihak lain sahaja, tanpa mahu menyalahkan masalah dalaman sebagai punca kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum lalu.

Ini amat berbeza dengan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS Pusat dalam muktamar Pemuda Pusat yang amat terbuka dengan menyentuh persoalan kelemahan dalaman sebagai antara faktor kekalahan PAS.

Ucapan Haji Hadi juga didapati tidak berwawasan kerana beliau gagal menyentuh tentang hala tuju perjuangan PAS dalam jangka masa yang akan datang. Beliau tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berpandangan jauh seperti Almarhum Fadhil Mohd Noor.

Justeru, bagi kami ahli-ahli di peringkat bawahan ini amat merasakan kehilangan Ustaz Fadhil hingga ke hari ini. Maka kami amat mengharapkan supaya berlaku perubahan besar dalam kepimpinan tertinggi PAS pada muktamar tahun hadapan.

Dr Haron Din, sebagai Presiden PAS dengan imej intelektual dan sederhananya, mampu membawa PAS ke mercu kejayaan. Tambahan pula, beliau adalah 'public figure' yang amat terkenal di seluruh negara memandangkan beliau kerap masuk TV dahulu.

Manakala Haji Hadi yang masih belum mampu mengubah imej radikal pada dirinya, lebih sesuai kembali ke jawatan asalnya sebagai Timbalan Presiden PAS yang menjaga hal-ehwal tarbiyah dan pembangunan sumber manusia parti.

Haji Hassan Shukri pula bolehlah dikekalkan sebagai ahli majlis syura PAS. Zaman beliau sebagai pemimpin utama parti sudah di penghujung usia kerana cara beliau hanya sesuai di zaman 60-an sahaja.

Ketika ahli membincangkan hala tuju parti dalam memartabatkan kedaulatan rakyat melalui kemenangan dalam pilihanraya, Haji Hassan hanya mampu bercakap mengenai hal-hal memperbanyakkan cawangan PAS.

Naib-naib presiden bolehlah dibarisi oleh pemimpin-pemimpin berkaliber seperti Dr Hassan Ali, Dr Hatta Ramli dan Haji Mohamad Sabu yang lebih agresif dan proaktif mendepani segala cabaran yang dihadapi oleh parti.

Manakala kepimpinan Dewan Ulama PAS pula wajar digantikan dengan Tuan Ibrahim Tuan Man atau Haji Taib Azzamuddin yang lebih intelektual dan mesra rakyat berbanding dengan Harun Taib yang tidak bercirikan seorang ulama.

Beliau hidup mewah dan berjaya membeli kereta mewah ketika menjadi Exco Kerajaan Terengganu pada penggal lepas. Tambahan pula, kepimpinannya tidak aktif dalam berhadapan dengan pelbagai isu sosial dewasa ini.

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali pula perlu diangkat menjadi Ketua Muslimat PAS pada muktamar tahun depan bagi menggantikan ketua sekarang yang uzur sehingga tidak mampu lagi membaca ucapan dasarnya baru-baru ini.

Dr Lo' Lo' amat sesuai digandingkan dengan Dr Siti Mariah Mahmud di mana kedua-duanya amat agresif untuk berhadapan dengan Pergerakan Wanita Umno.

Penubuhan satu dewan baru dalam PAS yang mungkin akan dinamakan Dewan Srikandi yang menyamai konsep penubuhan Puteri Umno, perlulah disegerakan bagi menyediakan ruang buat remaja puteri Muslim untuk sama-sama menyumbang bakti bagi membela nasib golongan tertindas di dalam negara.

Apabila Ketua Puteri Umno Azalina Othmad Said segera memberi komen tentang ura-ura penubuhan Srikandi ini, maka ia menggambarkan kepada kita bahawa Azalina amat gentar tentang keupayaannya yang mampu menyaingi Puteri Umno.

Sekiranya PAS berjaya menarik 'public figure' dalam dunia seni seperti Waheeda atau Wardina, maka Srikandi pasti akan cepat menjadi satu wadah yang popular di kalangan remaja perempuan. Jikapun PAS tidak mampu untuk menarik artis-artis ini, Muna Izzah anak gadis kepada Almarhum Presiden pun sesuai untuk mengepalai Srikandi.

Bagi jangka masa yang terdekat ini, sebelum berlaku perubahan kepimpinan pada pemilihan tahun depan, konvensyen khas yang telah dipersetujui bersama dalam muktamar baru-baru ini perlulah dijayakan dengan pengisian dan pengolahan perkara-perkara penting yang dapat menjadi resepi strategi baru PAS bagi menjamin kejayaan PAS dalam pihanraya umum 2014 nanti.

Perlaksanaan sesuatu strategi baru mungkin mengambil masa selama 10 tahun untuk membuahkan hasilnya. Semoga PAS bersama Barisan Alternatif (BA) berjaya memerintah Malaysia pada 2014 ini, terutamanya dengan pembebasan Anwar Ibrahim pada 2 Sep lalu.

ADS