Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

'Alhamdulillah!' itulah kalimat yang terpacul dari bibir saya apabila mendapat khabar Anwar Ibrahim dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dari tuduhan aib ke atasnya. Mungkin bermacam jenis tempikan kedengaran dengan tersebarnya khabar beliau dibebaskan.

Untuk makluman, saya bukanlah penyokong tegar Anwar dan sememangnya tidak bersetuju beliau menggunakan wadah Umno jika untuk meng'Islam'kan Malaysia. Walau bagaimanapun, latarbelakang beliau sejak zaman kampus umpama kisah 'Lord of The Rings' diulang-ulang bagi meningkatkan daya juang mahasiswa pada zaman saya di Universiti Malaya (UM).

Ada pro dan kontranya dalam memperkatakan dunia politik beliau. Namun saya akui peristiwa yang berlaku kepada beliau adalah satu tanda bahawa rakyat dan politik kita perlu berubah secara positif untuk ke hadapan.

Anwar tetap terpalit dengan kontroversi yang berlaku pada zaman Dr Mahathir Mohamad. Sebarang tindak-tanduk Mahathir turut memberi implikasi kepada Anwar dalam arena politik tanahair. Bagi saya, inilah satu wadah untuk Anwar dan seluruh kekuatan pembangkang perlu digembleng untuk merobohkan benteng pembohongan BN yang kita lalui kini.

'Yang dusta akan jadi benar jika diulang dari masa ke masa sampai bila-bila' begitulah kata Josef Goebbels, Menteri Penerangan zaman Hitler. Kebenaran perlu diserlahkan kembali agar Malaysia berada pada landasan yang betul dan murni untuk mencapai kemajuan dan ketamadunan.

Mengapa perkataan 'ketamadunan' digunakan? Manusia berhak untuk maju tetapi tidak semuanya bertamadun dan beragama. Siapa tidak kenal Rom empayar tersohor yang jadi sandaran Bush bagi menjana propaganda AS untuk berkuasa di dunia. Rom adalah empayar yang cemerlang, gemilang dan terbilang tetapi tersungkur di tangan Attila, ketua bangsa Hun.

Zaman Rom merupakan zaman penganiayaan terhadap kemanusiaan. Lihatlah Coliseum, anda akan melihat pusat penyeksaan tahanan politik yang dihumban ke gelanggang untuk bertarung hidup dan mati dengan singa dan haiwan buas.

Masyarakat kurang upaya dianggap sampah masyarakat kerana pada pandangan orang Rom, hanya manusia sempurna sahaja layak tinggal di dalam kota kerana yang tidak upaya adalah bukan manusia sebenarnya hanya membebankan masyarakat Rom.

Mereka dihumban ke pusat membuang sampah di luar kota umpama barang buangan. Semua mata manusia hanya melihat fatamorgana kota Rom kerana ketinggian senibina, kemajuan dan kebudayaannya, tetapi semua itu adalah illusi Rom mengenai contoh terbaik manusia membina tamadun kemajuan.

Jika Anwar ingin membawa perubahan kepada Malaysia, beliau perlu bersama Barisan Alternatif (BA), NGO, golongan akademik, mahasiswa, belia, golongan terpelajar dan seluruh masyarakat yang inginkan perubahan dengan membawa agenda murni Islam tanpa mengetepikan peranan masyarakat bukan Islam di negara kita.

Walaupun masyarakat berbilang kita nampak bersatu, tetapi politik segmentasi yang diamalkan adalah bersifat 'pecah dan perintah' seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN). Di sinilah peranan utama yang boleh dimainkan oleh Anwar dengan menyatukan pembangkang agar berada di bawah payung BA.

Biarpun, kita maklum dengan agenda dan cita-cita politik masing PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PRK), tetapi itu lebih baik daripada bermuka-muka dan berpura-pura bersatu seperti BN.

Biar kita bertegang urat tetapi niat masing-masing tidak disorokkan daripada berpura-pura dalam membawa agenda perpaduan, tetapi semakin banyak hak dan milikan kita tergadai.

Pepatah Melayu 'Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian' adalah satu pedoman yang perlu kita hayati dalam menghadapi realiti politik baru di Malaysia.

Perkara sebegini mungkin tidak lagi berulang pada masa hadapan. Mungkin inilah masanya titik perubahan buat kita semua bergandingan menggarap perubahan. Memanglah kita takut dengan demam, tetapi lebih baik kita demam daripada langsung tidak pernah demam. Negara lain telah pernah 'demam' dan ada yang 'nazak' tetapi menjadi sembuh selepas melaluinya.

Amerika pernah menempuh Perang Saudara antara 1860-1865, di Britain ketika zaman Charles 1, dalam sejarah Islam antara Ali dengan Muawiyah dan banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang zaman yang menjadi pengajaran untuk semua.

Bukankah Amerika kini kuasa dunia, Britain pernah menjadi imperialis besar dan tamadun Islam pernah berkuasa selama hampir 1,000 tahun di muka bumi ini?

Nah, untuk berubah perlu menempuh jerihnya dan menuntut pengorbanan yang tiada batasnya.

ADS