Most Read
Most Commented
Read more like this

Muktamar PAS Pusat yang lalu mencatatkan banyak pandangan kritis daripada ahli kepada barisan pemimpin PAS pusat. Sepulangnya para perwakilan daripada muktamar tersebut, tidak sedikit yang menyuarakan pandangan bahawa tidak ada halatuju yang digariskan oleh barisan pemimpin peringkat pusat.

Ramai juga yang nyata amat berharap agar pemimpin peringkat tertinggi berani membuat perubahan ke arah pembaikan setelah bertubi-tubi mereka ditegur oleh perwakilan.

Dengan terlantiknya Prof Haron Din ke jawatan Timbalan Mursyidul Am, ahli-ahli PAS yang prihatin mula beranggapan bahawa ruang untuk perubahan struktur Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pusat akan terbuka luas. Prof Harun Din boleh meletak jawatan Ketua Penerangan, dan seterusnya beberapa perubahan jawatan boleh dibuat dalam rangka menyusun semula struktur pentadbiran.

Sebenarnya, sama ada Prof Harun Din meletak jawatan Ketua Penerangan atau tidak, itu bukanlah satu isu yang terlalu penting. Apa yang diharapkan ialah agar jawatan Setiausaha Agung diisi oleh orang lain. Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung sekarang, telah ternyata tidak mampu dan tidak berpengalaman untuk menjadi Setiausaha Agung yang berkesan.

Ramai ahli-ahli Pas yang mahukan agar jawatan penting dalam parti ini diberikan kepada orang yang lebih berkemampuan. Ura-ura perlunya pemegang jawatan setiausaha agung PAS ditukar, bukanlah satu kritikan peribadi terhadap Nasharudin.

Tetapi, ia lebih merupakan kesedaran bahawa setiausaha agung adalah jawatan yang terlalu penting untuk diserahkan kepada seorang yang nyata tidak mampu memikul bebanan tanggungjawab tersebut.

Nasharudin merupakan seorang pemimpin yang baik tetapi beliau tidak sesuai untuk jawatan setiausaha agung. Memberikan jawatan yang salah kepada seorang yang berpotensi tinggi seperti beliau merupakan satu kezaliman yang perlu dihentikan segera. Beliau lebih boleh berfungsi di jawatan, selain setiausaha agung.

Satu lagi jawatan yang perlu ditukar ialah Bendahari PAS Pusat. Berapa lama lagi PAS mahu mengekalkan seorang bendahari yang gagal mempertingkatkan dana tabungan dan gagal mengurus kewangan dengan baik? Abdul Halim Abdul Rahman telah sekian lama menjadi Bendahari PAS Pusat dan keadaan kewangan parti semakin memalukan.

Beliau gagal membuat sebarang perubahan dan beliau duduk di jawatan tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Untuk menjadi sebuah parti yang berjaya, PAS mestilah mula memikirkan bagaimana sistem pentadbiran parti boleh diperkemaskan. Sistem pentadbiran yang kemas hanya boleh wujud jika parti mempunyai dana yang mambanggakan.

Selama mana lagi PAS mahu bergantung kepada perangai minta sedekah yang sekian lama diamalkan? Selama mana lagi PAS mahu bergantung kepada belas kasihan ahli untuk menggerakkan jentera pentadbiran parti?

Jangan menyalahkan rakyat sekiranya PAS ditolak. Bagaimana mungkin rakyat Malaysia memberi kepercayaan kepada sebuah parti yang gagal menguruskan sistem pentadbiran dalaman, dan juga gagal mengurus kewangan parti dengan terbaik?

Bagaimana mungkin rakyat Malaysia meyakini kebolehan PAS mentadbir sekiranya masalah dalaman pun tidak boleh diselesaikan?

Presiden PAS juga mestilah berani dalam membuat perubahan. Antara kritikan yang selalu dilemparkan terhadap Abdul Hadi ialah beliau merupakan seorang yang kurang senang membuat keputusan tegas dan sukar. Beliau terlalu bergantung kepada beberapa individu di keliling beliau yang diharapkan memberi nasihat terhadap perkara-perkara penting.

Sebagai Presiden, Abdul Hadi mestilah berani mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan keadaan. Tidakkah beliau sedar betapa dalam setiap program, nama Almarhum Fadzil Noor sering disebut-sebut sebagai tokoh ulung dalam memimpin PAS.

Abdul Hadi patut sedar bahawa itu semua merupakan rungutan ahli bawahan betapa PAS memerlukan kepimpinan dan beliau belum membuktikan bahawa beliau benar-benar berkebolehan memimpin sebuah parti yang mahu menjadi parti arus perdana.

Tindakan pertama yang Abdul Hadi perlu lakukan ialah melantik setiausaha agung dan bendahari yang baru. PAS tidak ketandusan tokoh untuk mengisi kedua-dua jawatan ini. Janganlah pula Abdul Hadi terlalu takut dengan pengaruh dan sokongan peribadi yang dimiliki oleh Nasharudin dan Abdul Halim, sehingga kepentingan parti menjadi mangsa.

Dan janganlah pula Abdul Hadi terikut-ikut dengan pandangan mereka yang takut untuk berubah. Sebagai pemimpin sebuah parti Islam, Abdul Hadi mesti berani membuat keputusan dan mengambil tindakan, walaupun kadangkala keputusan dan tindakan tersebut mungkin sukar dan berisiko.

ADS