Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua bulan selepas kerajaan BN memperkenalkan GST, terbukti bahawa kos sara hidup rakyat turut meningkat, kerana terpaksa menanggung kesan berantai peningkatan harga barangan di pasaran.

 

Hakikat menunjukkan bahawa kata-kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkenaan harga barangan akan turun dengan GST bukan sahaja tidak berasas, malah semata-mata berniat untuk mengeliru dan menipu rakyat.

 

Menurut satu statistik kajian yang telah dijalankan mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hasilnya menunjukkan kira-kira satu pertiga atau sebanyak dua juta isi rumah di Malaysia masih memperoleh pendapatan bulanan yang kurang daripada RM3,000.

 

Nasib rakyat golongan berpendapatan rendah ini kini menjadi lagi tertekan dengan pelaksanaan GST serta penarikan subsidi barang keperluan asas oleh kerajaan.

Polisi ini adalah tidak adil mahupun rasional, memandangkan pada masa yang sama, budaya boros, ketirisan, korupsi malah skandal seperti 1MDB terus berlaku, tetapi rakyat yang terpaksa menanggung akibat defisit fiskal negara.

 

Kerajaan menjangkakan akan mengutip sebanyak RM31.4 billion dari GST setahun untuk lima tahun akan datang. Maka, kerajaan perlu mengumumkan perancangan untuk membelanjakan hasil kutipan tersebut. Ini penting untuk menjamin kepentingan dan faedah rakyat jelata.


DR LEE BOON CHYE ahli parlimen Gopeng dan timbalan pengerusi PKR Perak.

Lihat Komen
ADS