Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Integriti Malaysia dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri menyiasat Kerajaan Negeri Sembilan dan juga PKNNS berhubung isu peneroka Gatco.

Kerajaan negeri dan PKNNS didapati bertindak membelakangkan keputusan Mahkamah Rayuan dan terus berniat untuk membuat kerja pembersihan tanah dan cubaan menyerahkan tanah kepada segelintir Peneroka walaupun Mahkamah masih belum selesai memutuskan isu hakmilik tanah tersebut.

 

Pada 22 April 2015, ADUN Senawang mengemukakan soalan kepada kerajaan negeri dalam sidang DUN tentang penglibatan serta status kerajaan negeri di tanah peneroka Gatco.

Sebagai balasannya (secara bertulis) kerajaan negeri mengatakan bahawa tanah ini pada asalnya dipajak kepada syarikat Gatco.

Kini, oleh kerana Syarikat Gatco telah muflis, kerajaan negeri telah berunding dengan pemilik sah iaitu Thamarai Holdings untuk menyerahkan tanah seluas 1206 ekar kepada peneroka.

 

Namun, Mahkamah Rayuan pada 25 Februari 2014 dengan jelas mengatakan bahawa wujud penyelewengan dalam proses pembelian tanah oleh Tamarai Holdings dan mahkamah meminta kes dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Pihak Tamarai Holdings juga telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan kes ini akan didengar pada 18 Ogos tahun ini. Justeru hakmilik tanah tersebut tidak berada pada pihak Tamarai Holdings dan mereka juga tidak mempunyai hak untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan negeri.

 

Pihak kerajaan negeri dan PKNNS pula mengatakan tanah ini sudah menjadi milik mereka dan telah mencucuk papan tanda di kawasan tersebut tetapi sehingga sekarang langsung mereka gagal memberikan sebarang notis kepada penduduk. Tindakan mereka amat mencurigakan kerana :

 

  • Carian tanah menunjukkan tanah yang kini diceroboh masih berada atas nama Tamarai Holdings. Bagaimana kerajaan negeri boleh mendakwa bahawa tanah itu milik mereka?

 

  • Kerajaan negeri dan PKNNS menyatakan tanah telah diserahkan oleh Tamarai Holdings. Peguam Tamarai Holdings juga mengakui bahawa pencerobohan tidak dilakukan oleh mereka tetapi oleh pihak kerajaan negeri.
  •  

  • Mahkamah Rayuan mempertikaikan pemilikan tanah tersebut oleh Tamarai Holdings. Maka, bagaimana tanah tersebut boleh diberikan oleh Tamarai Holdings kepada kerajaan negeri?
  • Kami juga difahamkan pihak kerajaan negeri dengan beberapa kontraktar swasta dengan perlindungan penuh pihak polis dan RELA membersihkan pokok getah yang mereka jual untuk keuntungan. Ada lebih 200 aduan polis yang telah dibuat oleh peneroka mengenai isu ini.

    Motif utama di sini nampaknya adalah jelas ada pihak mahu menjual pokok getah untuk mendapat untung. Satu siasatan perlu dibuat siapa yang untung kerana menebang pokok ini, berapakah keuntungan yang diperolehi dan siapakah kontraktor yang terlibat?

    Pihak penduduk pernah membuat aduan polis bahawa pemimpin tertentu diberi kontrak untuk membersihkan pokok ini. Perniagaan ini amat lumayan.

     

    Kami dengan ini menuntut satu siasatan perlu dibuat segera dan sehingga itu semua pencerobohan ke atas tanah tersebut harus dihentikan sehingga mahkamah persekutuan memberikan satu keputusan.

     

    Pihak peneroka yang menghalang pencerobohan ke atas tanah mereka hanya berbuat demikian kerana setiap pokok getah yang ditebang memberi impak kepada kehidupan mereka. Mereka juga bertindak kerana keputusan mahkamah berpihak kepada mereka.

    Namun polis menahan mereka yang mempertahankan hak dan membela pihak yang menceroboh hak dan menghina mahkamah.

     

    Kini kami difahamkan Kerajaan Negeri bercadang memberikan sebahagian tanah ini secara percuma kepada segelintir peneroka di sana.

    Sepatutnya kerajaan negeri dan PKNNS menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Tindakan kerajaan negeri dan PKNNS akan merumitkan lagi isu ini dan tindakan terburu-buru kerajaan mahu menyerahkan tanah kepada sebahagian peneroka lain juga akan menimbulkan ketegangan dan mengancam keharmonian dan perpaduaan di kalangan para peneroka yang ada di Kg Serampang Indah (Gatco) Negeri Sembilan.

     

    Kami menuntut kedaulatan undang-undang dihormati oleh semua pihak dan satu siasatan perlu dilakukan kerana segala tindak tanduk menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Isu ini cukup berbau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

     


    S ARUTCHELVAN setiausaha agung PSM.

    Lihat Komen
    ADS