Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya meyaksikan dengan penuh minat ucapan Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein Onn tentang 'petualang bangsa' menerusi kaca televisyen. Nampak gaya, sepupu Najib Tun Razak ini bukan main bersemangat lagi.

Antara intipati ucapan beliau adalah 'petualang' yang telah memecahbelahkan Umno, melemahkan ekonomi negara, dan tali-barut barat. 'Petualang' tersebut tidak boleh diberi ruang walau seinci pun di dalam Umno untuk kali kedua.

Saya amat yakin bahawa orang yang beliau maksudkan adalah Anwar Ibrahim, bekas timbalan presiden Umno.

Apa yang menarik, Hishamudin barangkali mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang memilih untuk keluar dari Umno adalah pengkhianat dan penderhaka. Saya tertarik dengan isu tersebut.

Kalau kita masih ingat, pada tahun 1998 ketika kemelut ini bermula, Anwar menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno pada bulan September sejurus pemecatannya sebagai TPM.

Beliau tampil untuk mempertahankan dirinya dan mendakwa menjadi mangsa konspirasi peringkat tertinggi. Akhirnya, MT pada malam tersebut telah memutuskan bahawa Anwar dipecat dari Umno.

Saya ingin bertanya kepada Hisham, apakah maksud 'dipecat'? Sedangkan dalam sidang akhbarnya, Hisham mengatakan Anwar telah keluar dari Umno. Adakah 'dipecat' dan 'keluar' itu sama maksudnya?

Hisham yang budiman, Anwar tidak pernah keluar dari dari Umno, melainkan anda dari Umno sendiri yang memecat beliau dengan pelbagai tuduhan yang tidak masuk akal.

Sebaliknya, yang memilih untuk keluar dari Umno, adalah tidak lain tidak bukan datuk kepada Hisham sendiri, Onn Jaafar. Sinisnya, pengasas Umno sendiri.

Beliau keluar dari Umno dan menubuhkan Parti Negara untuk menentang Umno dalam pilihanraya umum. Adakah 'petualang' dan 'penderhaka' sebagaimana yang Hisham definisikan itu diterimapakai untuk Onn Jaafar juga?

Mengapakah isu Anwar begitu menonjol diperkatakan? Seingat saya, sejak keluar penjara, belum terpacul dari bibir Anwar sendiri untuk kembali kepada Umno. Terlalu besarkah agenda Anwar dalam perhimpunan agung Umno kali ini?

Saya berharap kalaupun Hisham amat gusar akan kedudukan sepupunya sebagai bakal PM, janganlah sampai tidak boleh menilai dan menapis kata-kata.

ADS