Saya diberitahu seorang sahabat bahawa air minum yang dijual di pasar malam di Seremban kini telah naik daripada RM1 segelas kepada RM1.20 segelas sekarang. Malah peratus kenaikan kebanyakan barangan kini tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kenaikan harga minyak.
Mereka yang biasa dengan kos operasi pengeluaran sudah pasti tidak dapat memikirkan bagaimana minyak yang naik hanya 3.67% ( dari RM1.36 sen/liter ke RM1.41 sen/liter ) boleh menyebabkan kenaikan barangan hingga 20%, malah ada yang lebih lagi.
Dalam proses pengeluaran, minyak merupakan satu faktor kos, bergantung kepada produk yang dikeluarkan. Industri yang berasaskan elektronik mungkin berbeza peratus kegunaan minyak berbanding dengan industri yang berasaskan makanan.
Ada industri yang menggunakan hanya lima peratus minyak dalam kos pengeluaran dan ada industri yang mungkin menggunakan 100 peratus minyak dalam kos pengeluarannya (di mana agak mustahil, kerana adanya kos buruh dalam kos pengeluaran).
Jadi kita ambillah yang paling kritikal, katakan industri tersebut menggunakan 100 peratus kos minyak sebagai kos pengeluarannya. Jika minyak naik sebanyak 3.67% maka kos pengeluarannya akan naik sebanyak 3.67%.
Mungkin mereka yang menjual air minum di pasar malam mengatakan, kenaikan harga itu bukan disebabkan kos minyak kenderaan mereka, tetapi disebabkan kenaikan harga gula dan bahan pewarna yang melebihi 3.67%.
Tetapi mengapa gula dan bahan pewarna perlu naik melebihi 3.67% sekiranya ada kebenarannya? Walhal proses pembuatan gula dan bahan pewarna bukannya 100 peratus menggunakan minyak.
Ini hanyalah contoh mudah bagaimana para peniaga mengambil kesempatan atas kealpaan orang ramai dan kelemahan penguatkuasaan serta garispanduan kenaikan harga.
Sepatutnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna terlebih dahulu membuat kajian sebelum mengumumkan kenaikan harga minyak.
Jika tidak, para peniaga yang tidak beretika yang mengharapkan keuntungan semata-mata dan mengabaikan tanggungjawab sosial, akan mengambil kesempatan.
