Membaca tulisan Alibaba berjudul Pemikiran politik Melayu menyedihkan benar-benar menyedihkan saya. Bukan sedih sebab isu-isu politik Melayu yang didedahkan oleh si penulis, sebaliknya sedih dengan kecetekan tahap pemikiran beliau.
Masalah terbesar Alibaba ialah sukar bersikap objektif apabila bercerita mengenai 'peranan' sebenar ahli-ahli politik Melayu kerana terlalu obses dengan cerita-cerita politik singkat, seumpama politik wang, membeli undi dan sebagainya.
Alibaba cuba melupakan banyak hal yang lebih besar di sebalik 'kebejatan' ahli-ahli politik Melayu atau Umno, khususnya sumbangan mereka kepada keberterusan hidup orang Melayu.
Sekiranya Alibaba seorang Melayu, bukannya keturunan Arab padang pasir, maka beliau seharusnya insaf bahawa disebabkan oleh orang politik yang dituduh bobrok, tamak kuasa dan suka merasuah inilah, berlangsungnya pelbagai program dan dasar yang diluluskan Parlimen untuk kepentingan Melayu, khususnya, dan kepentingan negara amnya, sekiranya dilihat dalam jangka panjang.
Sehebat ahli akademik mana sekalipun, mereka tidak habis berfikir bagaimana dasar seumpama DEB boleh diluluskan melalui Parlimen. Sekiranya Alibaba Melayu, hampir pasti beliau adalah salah seorang penerima geran kebajikannya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Tangan siapakah di belakang DEB? Tangan ahli politik yang dikatakan bobrok itulah. Kalau kita lihat belanjawan negara saban tahun, bagaimanakah agaknya Parlimen yang terdiri daripada tiga komponen terbesar kaum dan agama boleh meluluskan bajet untuk kegunaan hal-ehwal Islam sebanyak lebih kurang RM300 juta setahun. Sekali lagi kerana ahli politik yang bobrok inilah.
Orang Arab terkenal dengan kepandaian beretorik tetapi gagal menyelam falsafah. Mungkin Alibaba keturunan Arab campuran. Sebaliknya, orang Melayu asli tidak pandai beretorik, tetapi mereka bijak bersulam pantun bahasanya tidaklah susah tetapi maknanya mendalam.
Sebab itulah, Alibaba gagal melihat kebijakan di sebalik tindakan Hang Tuah. Melalui kata-kata Alibaba, saya petik: 'Ia hanya sekali lagi melahirkan 'Hang Tuah' yang hanya taat tetapi tidak bijak berfikir'. Nampaknya Alibaba memang keturunan Arab.
Hang Tuah sangat taat dan bijak berfikir. Hang Tuah bukan melindungi Sultan Mansur Syah, tetapi institusi raja yang bermakna, kerajaan pada masa itu. Beliau juga bukan membunuh sahabatnya Si Jebat, tetapi membanteras anasir-anasir perosak dan pensabotaj negaranya. Itulah pemikiran Hang Tuah yang sangat jauh dan patriotik.
Sebaliknya Hang Jebat yang sangat cetek. Beliau cuba menghapuskan kerajaan seluruhnya, hanya kerana seorang raja yang tidak disenangi, dan sanggup membunuh rakyat semata-mata untuk membuktikan keperwiraannya.
Menggunakan kaedah berfikir Jebat hanya akan menjerumuskan kita kepada kehancuran, kerana inginkan keadilan dan kemakmuran segera dengan menghancurkan pihak yang dianggap musuh, sebelum benar-benar dikenalpasti.
Lebih malang, kalau pemikiran Kasim Baba, abangnya Alibaba digunapakai. Kerana tamakkan harta karun perompak, Kasim tidak sabar walau sesaat untuk menunggu 'formula' untuk membuka pintu gua, sehingga akhirnya dibunuh sang penyamun.
Bukankah begitu tafsiran sepatutnya Alibaba?
