Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad melenting.

Kononnya Menteri Kerjaraya S Samy Vellu tidak telus ketika memberi penjelasan di Parlimen. Jika sudah memberi penjelasan yang secukupnya di Parlimen, untuk apa perlu diberi penjelasan lagi kepada perdana menteri?

Lucu bukan permainan politik Malaysia? Shahrir yang berusaha mahu muncul sebagai wira Umno, gagal dalam pemilihan naib presiden yang lalu juga sebenarnya 'tahu separuh tiang' sahaja isu yang diperjuangkan.

Rakyat juga yang menderita. Pembayar cukai juga yang sentiasa menanggung akibat. Shahrir dan Samy Vellu mungkin tidak menggunakan Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) yang ketika tidak ada masalah pun sesak teruk, apatah lagi setelah ditutup sebahagiannya seperti sekarang.

Cuba kita semua fikirkan secara serius, siapakah yang memberi dan meluluskan projek ini untuk dilaksanakan? Apakah tiada peranan Menteri Kewangan atau perdana menteri? Seperti kata Samy Vellu, sebagai Menteri Kerjaraya, dia sendiri tidak pernah tahu, tidak pernah dirujuk dan tidak ada kuasa untuk memberikan projek itu kepada sesiapa.

Persoalannya sekarang, siapa yang mempunyai kuasa? Kenapa tidak ada langsung peranan orang yang berkuasa dalam isu ini? Kenapa orang yang berkuasa ini tidak diserang, tidak disiasat dan jauh sekali diketengahkan untuk dikenali umum?

Baguslah kalau Samy Vellu 'tidak telus' kerana sebagai menteri ada sumpahnya kepada Yang di Pertuan Agong dan Sumpah Menyimpan Rahsia. Shahrir pernah menjadi menteri, tentunya tahu Sumpah Rahsia ini dan untuk apa mahu mendesak Samy Vellu 'supaya telus'.

Tidak ada gunanya main wayang seperti ini. Jika benar Shahrir ikhlas, adalah lebih baik membuat laporan dengan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat secara terperinci siapakah yang sebenarnya 'manusia yang berkuasa' memberi projek kepada kontraktor pilihan mereka.

Bukan setakat projek-projek yang bermasalah sahaja tetapi projek-projek yang tidak bermasalah juga. Apakah harga projek 'harga sebenar' atau harga projek sudah 'dinaikkan' kerana ada unsur-unsur 'rasuah'?

Saya menjemput sesiapa sahaja yang ada pandangan dan ulasan dari apa yang diperkatakan ini untuk memberikan pendapat. Mudah-mudahan, ada sedikit sumbangan kita kepada negara, bangsa dan agama kita.