Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada isu yang amat ketara sejak kebelakangan ini di mana pelbagai masalah melanda sistem pentadbiran kerajaan.
Isu-isu yang dibangkitkan dalam Parlimen dan media massa tidak ditangani secara bijak oleh menteri serta ketua-ketua jabatan yang terbabit. Persoalannya, apakah hanya menteri sahaja yang didesak untuk meletak jawatan, sedangkan ketua-ketua jabatan terlibat lepas diri begitu sahaja.
Tidakkah ada garispanduan yang digunapakai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mengambil tindakan terhadap ketua-ketua jabatan yang gagal melaksanakan tugas mereka serta memberi nasihat yang betul kepada menteri mereka. Takkan bila perdana menteri campurtangan, barulah nampak tindakan hendak diambil terhadap mereka yang terbabit.
Usul DAP meminta gaji menteri dipotong sebanyak RM10 juga tidak harus dipandang ringan oleh KSN. Mesti ada sebab yang munasabah kenapa usul tersebut dibawa ke dalam Parlimen.
Persoalannya sekarang ialah menteri dapat malu besar tetapi ketua jabatan berkaitan lepas senang begitu saja. Tidakkah pihak berkenaan sepatutnya didesak juga untuk meletak jawatan.
KSN mesti melakukan siasatan dan reformasi terhadap jabatan terlibat. Mesti ada sebab dan punca kenapa masalah ini berlaku.
Ketua jabatan yang tidak kompeten seharusnya dibersarakan lebih awal sebelum bencana dan tragedi yang lebih dahsyat melanda negara kita. Jangan cakap tak serupa bikin.
