Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sesungguhnya kepulangan Dato' Sri Anwar ibrahim (DSAI) ke Malaysia selepas menjalani rawatan perubatan di Munich akan menjadi tinta sejarah politik tanahair bagi dekad yang akan datang.

Kepulangan DSAI juga bersamaan dengan genap setahun tempoh pemerintahan Pak Lah, selepas mengambil alih dari Dr Mahathir Mohamad tahun lepas. Adakah ini satu 'kebetulan' ataupun lambang simbolik persefahaman antara dua pemimpin politik besar tanahair kita yang menjadi tunggak harapan rakyat semua.

Kepulangan DSAI menimbulkan pelbagai keresahan dan keraguan buat mereka yang terlibat di dalam konspirasi menjatuhkan beliau dari tampuk kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dahulu.

Sebahagian besarnya terdiri daripada ketua jabatan yang kini masih menyandang jawatan penting dalam kerajaan. Usaha-usaha DSAI untuk mewujudkan sistem pentadbiran berintegriti sedekad lalu serta pembentukan badan 'Ombudsmen' hancur berkecai oleh perancangan sabotaj mereka yang terlibat.

Di dalam arus gelombang menuntut perubahan serta anjakan paradigma sistem pentadbiran kerajaan yang berintegriti, sudah sewajarnyalah DSAI diberi peranan yang penting oleh Pak Lah untuk menerajui portfolio 'Ombudsmen' ini.

Kepakaran serta sumbangan DSAI dalam membantu Pak Lah bagi mewujudkan sistem kerajaan yang berintegriti, mempunyai akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi, amat dinanti nantikan oleh rakyat marhain sekelian.

Kalau DSAI telah ditolak oleh pemimpin parti politik yang memerintah dan penglibatan aktif beliau turut disekat oleh hukuman mahkamah, ini sajalah caranya yang terbaik untuk melibatkan DSAI dalam 'arus perdana' sistem pentadbiran negara.

Sekiranya ini menjadi realiti, ketua ketua jabatan, ahli korporat serta pemimpin politik yang korup tidak akan lena tidur. Mimpi indah sudah berakhir dan kini bertukar menjadi igauan dan mimpi ngeri yang akan berterusan menghantui setiap detik nadi kehidupan mereka.

Semoga impian untuk melihat Malaysia cemerlang, terbilang dan gemilang dalam aspek urustadbir pentadbiran (good governance) akan menjadi realiti. InsyaAllah...

ADS