Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tangisan secara tidak sengaja Dr Mahathir Mohamad, yang akhirnya 'memaksakan' beliau meletak jawatan perdana menteri telah memberi satu nafas baru yang amat penting bagi rakyat untuk menghidu semula bau-bau awal kesuburan semula demokrasi di Malaysia.

Pak Lah yang baru genap setahun menjadi PM telah melakukan langkah-langkah awal penyuburan demokrasi dengan memberi ruang sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili dan seterusnya membebaskan Anwar Ibrahim tanpa beliau (Pak Lah) masuk campur.

Peristiwa yang amat besar ini sebenarnya membuka semula peluang untuk memperbetulkan segala kepincangan negara, sama ada melibatkan isu domestik mahupun antarabangsa. Penyatuan semula orang Melayu adalah sesuatu yang cukup perlu dilakukan oleh Pak Lah dan Anwar.

Secara ironiknya, kedua-dua tokoh ini sebenarnya mewakili pecahan dua kelompok terbesar kumpulan Melayu di Malaysia. Ini kerana kecenderungan keseluruhan orang Melayu menentang kerajaan adalah berpunca daripada peristiwa besar tahun 1998.

Walau bagaimanapun, Anwar telah memulakan langkah-langkah awal penyatuan itu, baik dari kata-kata mahupun tindakannya.

Orang Melayu, atau lebih tepat Anwar, kaya dengan kata-kata kiasan. Temubual, lawatan, ceramah Anwar banyak memberi tanda awal untuk bersama-sama Pak Lah menyatukan semula Melayu dan rakyat Malaysia. Tindakan ini disambut dengan baik oleh Pak Lah bilamana ditanya oleh pihak media.

Keserasian mereka berdua amat jelas di dalam majlis hari raya Pak Lah di Kepala Batas di mana Anwar menghabiskan masa agak lama duduk bersebelahan Pak Lah yang mempunyai kuasa dengan Anwar yang mempunyai pengaruh luar biasa. Bayangkan bagaimana masa depan rakyat Malaysia sekiranya mereka bekerjasama!

Penyatuan kedua-dua tokoh hebat ini akan menjangkaui, malah, akan mempengaruhi batas kaum dan agama rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia kelas pertengahan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, akan merasai erti sebenar keadilan kerana kombinasi Pak Lah dan Anwar adalah ke arah agenda yang sama membela dan memakmurkan rakyat.

Satu tindakan yang jelas kelihatan sama pada mereka ialah Anwar dipenjara oleh Mahathir kerana menentang rasuah manakala slogan Pak Lah pula ialah membasmi rasuah.

Sekiranya peristiwa Anwar ditarik oleh Mahathir untuk memasuki Umno pada 1982 berdasarkan alasan untuk memperlahankan/mengimbangi pengaruh gerakan Islam ketika itu, kita boleh melihat senario kali ini di mana Anwar menganggotai semula barisan kerajaan berdasarkan beberapa alasan yang cukup penting, antaranya:

1. Rasuah - Inilah isu utama yang membolehkan mereka bergabung demi membasmikannya secara habis-habisan. Lapan belas kes mega rasuah waktu ini masih di tahap perlahan dan Pak Lah memerlukan seorang rakan yang lantang untuk mengetuai kes ini untuk diteruskan.

Anwar adalah individu yang layak dipilih oleh Pak Lah kerana kredibiliti, iltizamnya sebelum, semasa dan selepas keluar penjara cukup konsisten untuk menghapuskan rasuah.

Timblan Perdan menteri Najib Razak tidak menunjukkan keinginan untuk menghulurkan bantuan kepada Pak Lah sedangkan tugas timbalan perdana menteri adalah untuk tu melaksanakan segala dasar dan arahan ketua negara.

2. Islam - Peristiwa Sept11 menjadi alasan Barat untuk menghancurkan Islam. Ia dimulai dengan serangan ke atas Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya dan senarai kedua Iran, Libya, Syria, menjadi sebab utama betapa perlunya Pak Lah membawa semula Anwar ke dalam kerajaan demi menjadi penghubung dialog Islam dan Barat.

Pak Lah tidak seperti Mahathir. Darah di badannya adalah darah warisan ulama besar negara.

Sewaktu di Munich, DS Anwar dikunjungi pemimpin negara Barat, Asia, Arab, Afrika serta lawatan pelbagai tokoh besar negara dari pelbagai bidang, dan ini memberi indikasi bahawa Anwarlah orang yang mereka nampak jelas mempunyai daya luar biasa untuk memperbetulkan semula persepsi Barat terhadap Islam.

Malah, ketika ditanya wartawan luar mengenai peristiwa Sept 11, Anwar menyatakan seolah-olah Tuhan menyembunyikan beliau secara misteri di penjara selama enam tahun, sedangkan pada waktu itu, dunia sedang bergolak!

Kombinasi Pak Lah dan Anwar seharusnya cepat diwujudkan demi menyelamatkan umat Islam Malaysia, Asia Tenggara, malah dunia daripada terus ditindas secara membabi buta oleh pembunuhan yang berslogankan memerangi keganasan.

Lebih penting lagi, persepsi pembawaan Islam yang berbeza pada umatnya boleh diperhalusi secara terperinci di mana pendekatan amalan Islam yang manakah difikirkan patut didahulukan.

Akhir sekali, walaupun di persidangan Umno yang lepas, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno mengisytiharkan tidak akan menerima Anwar kembali ke dalam Umno, namun kuasa pemutus sebenarnya terletak hanya pada Pak Lah.

Memang benar proksi Mahathir bergantung pada Najib ... namun Najib cukup dikenali sebagai pemimpin yang tiada pendirian tetap. Mungkinkah peristiwa 'tikam belakang' yang dilakukan Najib kepada Tengku Razaleigh pada 1987 akan berulang semula?

Persoalan Najib yang bermain-main di benaknya ialah mampukah beliau menentang Anwar secara terbuka, sedangkan kejatuhan Mahathir berjaya diolah dengan rapi oleh Anwar dari Penjara Sungai Buloh!

Jikalaupun Najib bercita-cita untuk menentang Anwar, dia tidak perlu bercita-cita tinggi. Kita lepaskan sahaja Ezam Mohd Nor sudah cukup.

Kenyataan berani Ezam untuk menentang Najib 'satu lawan satu' dalam pilihanraya umum 2004 menyebabkan Najib tidak langsung keluar daripada kawasan Parlimen Pekan yang dipegangnya.

Selamat memegang jawatan kerajaan kembali Anwar!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS