Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Kami ingin memberikan maklumbalas terhadap artikel 'Securing our food supply with GM crops' oleh Dr Hoe-Han Goh yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times , 14 November 2015.

Dr Goh memuji manfaat tanaman ubah suai genetik (GM) di beberapa negara, tetapi artikel ini gagal untuk memberi gambaran sepenuhnya dan kami ingin menangani jurang penting ini.

Dalam kes India, selepas 10 tahun penanaman kapas Bt (kapas GM), Jawatankuasa Tetap Pertanian Parlimen India mengeluarkan laporan pada Ogos 2012 menyatakan bahawa “Tiada manfaat sosio-ekonomi yang signifikan kepada petani disebabkan oleh pengenalan kapas Bt.

Sebaliknya, amalan pertanian bermodal intensif menyebabkan pelaburan petani telah meningkat berkali ganda, dengan itu mendedahkan mereka kepada risiko yang jauh lebih besar akibat hutang yang banyak, yang sebahagian besar daripada mereka tidak mampu bayar.

Pengalaman sedekad lalu secara kesimpulannya menunjukkan manakala pertanian GM memberikan manfaat besar kepada industri, tetapi dalam kalangan petani miskin sedikit manfaat pun tidak dilihat”. [1]

Pada 2010, mantan Menteri Alam Sekitar dan Hutan India mengisytiharkan penangguhan sementara ke atas terung Bt, tanaman ubah suai genetik pertama yang dipertimbangkan bagi penanaman komersial di negara itu.

Susulan beberapa siri rundingan awam, dan pembentangan oleh ahli akademik, ekonomi, alam sekitar, petani, kumpulan masyarakat sivil dan rakyat, pihak menteri mengisytiharkan bahawa keputusannya “kedua-duanya bertanggungjawab kepada sains dan responsif kepada masyarakat”. [2]

Sementara itu, di China, walaupun kapas Bt dapat mengawal serangga perosak bollworm, data lapangan yang dikumpulkan pada 2004 menunjukkan bahawa manfaatnya diimbangi oleh peningkatan penggunaan racun makhluk perosak untuk mengawal serangga perosak lain, jadi purata perbelanjaan ke atas racun makhluk perosak oleh petani yang menanam kapas Bt dan kapas bukan Bt lebih kurang sama. [3]

Tambahan pula, kos benih kapas Bt tiga kali ganda lebih tinggi berbanding benih bukan Bt dan petani kapas Bt mendapat kurang wang berbanding rakan yang menanam kapas bukan Bt. [4]

Kajian ke atas kesan sosio-ekonomi terhadap penanaman jagung GM di Filipina mendedahkan bahawa pada keseluruhannya, jaminan keselamatan makanan petani telah hilang selepas 10 tahun menanam tanaman itu. [5]

Kajian itu juga melaporkan bahawa di semua kawasan kajian, masalah kesihatan dilihat semakin meningkat sejak pengenalan jagung GM, bersama dengan tindak balas alahan teruk kepada racun makhluk perosak.

Begitu juga dengan haiwan ternakan dan ayam itik, kematian dan peningkatan risiko penyakit selepas memakan makanan haiwan jagung GM dapat dilihat.

Seterusnya, jagung GM mempunyai kesan sampingan ke atas alam sekitar seperti kemunculan serangga makhluk perosak yang baharu dan rumpai yang rintang kepada glyphosate (racun rumpai yang dijual dan digunakan selaras dengan tanaman GM toleran-glyphosate).

Pada Oktober 2013, kenyataan [6] yang dikeluarkan oleh European Network of Scientists for Social and Environmental Responsibility (ENSSER) mendedahkan bahawa tiada konsensus saintifik berhubung keselamatan makanan dan tanaman ubah suai genetik, menggesa dakwaan bahawa makanan dan tanaman GM adalah selamat bagi manusia, haiwan dan alam sekitar adalah “mengelirukan”.

The Canadian Biotechnology Action Network (CBAN) telah mengeluarkan laporan berdasarkan pengalaman komersial selama 20 tahun di Amerika Utara.

Mereka mendapati tanaman, pokok dan haiwan GM, kekal sebagai satu model pertanian yang memberikan kesan alam sekitar yang serius dan tidak lestari dalam jangka panjang. [7]

Seterusnya, mereka merumuskan bahawa makanan GM adalah ujikaji berterusan terhadap pengguna, memandangkan potensi risiko daripada memakan makanan GM masih tidak dikaji sepenuhnya. [8]

Laporan berdasarkan bukti selanjutnya iaitu “GMO Myths and Truths” menunjukkan makanan GM mungkin toksik, alergenik, atau mempunyai perubahan pemakanan yang tidak dikehendaki. [9]

Laporan itu juga menyediakan bukti pembiakan konvensional berterusan merentasi kejuruteraan genetik dalam penyampaian tanaman yang memberikan hasil yang baik, rintang penyakit, berkhasiat, dan toleran kemarau serta cuaca jenis lain.

Patut diberi perhatian bahawa Dr Goh menyebut Cartagena Protocol on Biosafety. Protokol ini dan Suruhanjaya Codex Alimentarius PBB mengetahui betapa meluasnya pengiktirafan risiko yang didedahkan oleh makanan dan tanaman GM.

Sebagai pihak yang menyertai Cartagena Protocol, Malaysia seharusnya melaksanakan pendekatan berjaga-jaga berhubung GMO, yang disediakan dalam perjanjian ini dan juga asas kepada Akta Biokeselamatan 2007.

Jika tanaman GM begitu menarik dan penting sepertimana dakwaan Dr. Goh, kenapa 19 negara di Eropah mendaftar dengan Suruhanjaya EU Oktober ini memilih untuk keluar dari penanaman tanaman GM? [10]

Tidakkah lebih baik rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengikuti contoh mereka dan memastikan negara kita bebas daripada tanaman GM?

Atau adakah kita harus mengabaikan semua bukti risiko tanaman GM semata-mata untuk “terkenal di peringkat global” dalam lapangan bioteknologi pertanian?

Dr Goh menggesa supaya kita menerima tanaman GM, namun kita perlu melaksanakan sikap berhati-hati dan bertanggungjawab serta mengelak tanaman ini daripada tumbuh di negara kita.


[1] Indian Parliamentary Standing Committee on Agriculture. 2012. Cultivation of Genetically Modified Food Crops - Prospects and Effects. 164.100.47.134/lsscommittee/Agriculture/GM_Report.pdf

[2] http://www.thehindu.com/news/national/moratorium-on-bt-brinjal/article103642.ece

[3] Wang S; Just DR; and Pinstrup-Andersen P. 2006. Tarnishing Silver Bullets: Bt technology adoption, bounded rationality and the outbreak of secondary pest infestations in China. Paper presented at American Agricultural Economics Association annual meeting, Long Beach, CA, 22- 26 July.

[4] Wang S; Just DR; and Pinstrup-Andersen P. 2008. Bt cotton and secondary pests.

Int J Biotechnol, 10:113-120.

[5] Socio-economic Impacts of Genetically Modified Corn in the Philippines. 2013.

http://masipag.org/wp-content/uploads/2013/05/MASIPAG-Book-low-res.pdf

[6] http://www.ensser.org/increasing-public-information/no-scientific-consensus-on-gmo-safety/

[7] Are GM crops better for the environment? Canadian Biotechnology Action Network.www.GMOinquiry.ca/environment

[8] Are GM crops better for consumers? Canadian Biotechnology Action Network.www.GMOinquiry.ca/environment

[9] GMO Myths and Truths. http://earthopensource.org/earth-open-source-reports/gmo-myths-and-truths-2nd-edition/

[10] http://ecowatch.com/2015/10/05/european-union-ban-gmos/ and http://ec.europa.eu/food/plant/gmo/authorisation/cultivation/geographical_scope_en.htm

SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS