Tertarik dengan perkembangan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, saya ingin berkongsi komentar mengenainya. Nampaknya banyak sejarah terlakar dalam persidangan parti muda ini. PKR seolah-olah mendapat vitamin baru selepas 'penasihat' mereka Anwar Ibrahim memberi ucaptama.
Sorakan taasub dengan pidato berpengaruh Anwar mengubat sukma dan halwa telinga penyokong dan pendukung reformasi yang rindukan ucapan berdegar-degar beliau. Bagi saya, PKR masih lagi tidak dapat lari dari imej parti rojak dan tidak stabil. Mengapa saya berhujah demikian?
Hujah pertama, pertembungan secara halus di dalam PKR jelas dirasai bahangnya bagi mereka yang berada di lapisan atmosfera perjuangan atasan PKR. Golongan bawahan memang tidak ketara merasai sepak terajangnya. Golongan Saifuddin Nasution dan Ezam Mohd Nor dilihat jelas cuba memperkukuhkan kedudukan masing-masing.
Ezam pernah diperdebatkan dalam lamanweb ini, bahawa selepas pembebasan Anwar, taringnya kian tumpul. Ada pihak yang berhujah, apalah sangat hebatnya Ezam, beliau hanya hebat berpencak tanpa ketuanya.
Ezam didukungi oleh elitis yang lain seperti Khalid Jaafar, Azmin Ali, Cikgu Bad, Shamsul Iskandar dan kelompok yang lahir dalam proses latihan Institut Kajian Dasar (IKD). Kelompok inilah juga yang merancang konspirasi halus menyingkirkan kumpulan yang disifatkan menderhaka kepada Anwar Lokman Adam, Zahid Md Arip dan lain-lainnya.
Hujah kedua, pengaruh kumpulan politikus elit ini cuba mambayangi setiap aksi dan reaksi Anwar. Lihat sahaja peranan mereka semasa Anwar mendapat rawatan di Munich, Jerman. Azmin Ali berperanan sebagai pengawal merangkap penapis kepada sesiapa yang hendak berurusan dengan Anwar.
Pihak media, reformis, kenalan, diplomat perlu mendapat 'izin', malah ada yang perlu lulus 'temuduga' terlebih dahulu oleh Azmin ini. Ini menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan menyifatkan tindakan ini keterlaluan kerana Anwar adalah milik semua. Kelompok ini dikatakan mendapat layanan ekslusif Anwar disebabkan 'sumbangan' dan 'jasa' mereka kepada Anwar semasa di dalam penjara.
Ini menenggelamkan jasa dan sumbangan kelompok kedua (Saifuddin dan kumpulannya) dan rakyat marhaen yang mana telah mengorbankan segalanya demi agenda reformasi. Kini, reformasi seakan-akan milik kumpulan elit ini.
Hujah ketiga, lihat sahaja penarikan diri dan ketidakmunculan Saifuddin dalam kongres ini, menimbulkan tandatanya kepada ahli yang prihatin. Mungkin kecewa dengan kumpulan yang menjadi hegemon dan menpengaruhi Anwar secara tidak langsung.
Persoalan mereka ialah benarkah Anwar menerima pandangan kelompok 'Ezam and the gang' ini? Bagi saya tidak mustahil dan kecenderungan itu boleh terjadi. 'Bias' terhadap idea sehala menyebabkan pandangan alternatif tidak dapat memunculkan diri dalam perdebatan politik sebegini.
Hujah keempat, kelompok Ezam ini juga mengawal kebebasan media dalam memberikan pandangan negatif terhadap 'si fu' mereka ini. Lihat sahaja nasib tulisan Kirdatun Borhan melalui kolumnya 'Batu Giling' di dalam blog Malaysia-Today yang menempelak sinis Anwar.
Raja Petra diberikan amaran oleh kelompok ini untuk memberhentikan tulisan Kirdatun yang ditafsirkan oleh mereka boleh 'menjatuhkan' imej Anwar sebagai idola masyarakat.
Inikah demokrasi yang diperjuangkan oleh PKR (yang dibayangi oleh kelompok ini). Selain itu, lihat sahaja percaturan kelompok ini mendominasi pemilihan dalam kongres kali ini. Semuanya didominasi oleh juak-juak 'Ezam and the gang'. Apakah nasib PKR selepas ini, sama-samalah kita tunggu...
Bagi saya, politikus ini jika menghuni kerusi empuk kerajaan kelak, politik dendam kesumat dan penindasan mungkin lebih dahsyat daripada Umno. PKR masih jauh dari pengamalan politik matang. Kerana 'survival', politikus lain terpaksa menikus dengan adanya politikus yang mempunyai kuasa yang melampau.
Pada perspektif Anwar, mungkin ini bukan masalah besar, tetapi atas apa yang didedahkan di atas (hanya sebahagian), telah cukup meluluhkan perasaan dan memberikan racun kepada ahli PKR yang ikhlas.
Akhirnya, saya mengulangi dan menyokong kenyataan saudara Adrian Mahmudi dalam Umno-reform.com bahawa, 'Parti Keadilan Rakyat mesti diselamatkan daripada mainan kotor politikus keliling Anwar Ibrahim'.
