Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya terlepas pandang kepada satu surat malaysiakini yang lalu bertajuk Biar Kota Baru diisytiharkan Bandaraya Islam, ok? Saya berfikir kemudiannya, bahawa kelewatan saya membaca surat penuh emosi itu, ada hikmah yang sangat besar.

Membaca surat itu beberapa minggu kemudian, selepas banjir besar menyerang negeri-negeri Pantai Timur memberi kesan tersendiri. Kebetulan selepas banjir besar melanda Kota Baru, saya berada di sana atas satu urusan.

Saya mungkin dituduh sengaja hendak meluntur 'imej Islam' pemerintah Kelantan dan pentadbir Bandar Kota Bharu tetapi hakikatnya sangat pahit untuk digambarkan.

Bagaimanakah saya ingin memperincikan keadaan Bandar Kota Baru yang dahsyat selepas dilanda banjir ini. Seluruh pancaindera dipaksa untuk merasai kedahsyatan banjir, lebih-lebih lagi selepas banjir surut.

Jalan-jalan utama dipenuhi selut dan lumpur. Longkang tersumbat dengan bangkai ayam, kucing dan tikus yang sudah hampir seminggu. Berjalan di lorong-lorong akan dihidangkan dengan sampah sarap selepas banjir dan bau yang sangat memualkan.

Saya berfikir mungkin sahaja hal ini sementara, maklumlah selepas banjir. Namun sehingga beberapa hari lepas (antara 16 hingga 17 Dis), belum ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berwajib.

Dengar ceritanya dari sumber dalaman, peruntukan untuk membersih keseluruhan bandar tidak disediakan, ataupun disediakan dalam jumlah yang tidak mencukupi. (Mendengar cerita sebegini saya cepat-cepat terkenangkan para Exco yang memandu Mercedes , bukankah ironi telah mencapai puncaknya?)

Seorang kawan di Kota Baru menelefon dengan sedihnya memberitahu supaya penduduk Kota Bharu bersiap siaga dengan ketibaan kesan langsung akibat banjir. Hampir pasti, berdasarkan keadaan yang tergambar akan mengundang banyak malapetaka dahsyat.

Tidak perlu datang seorang doktor pakar untuk memberitahu bahawa keadaan kotor, berdebu dan mual itu akan mewabakkan taun, denggi, selsema burung serta pelbagai masalah kesihatan lain. Banjir sememangnya takdir, tetapi tindakan serta merta selepas banjir adalah atas usaha manusia. Mengapakah tidak dibersihkan?

Di manakah wacana 'Kota Baru sebagai Bandaraya Islam' dalam senario yang boleh dilihat sesiapa sahaja dengan mata kepala itu. Apakah yang lebih 'real', lebih benar daripada senario ini?

ADS