Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anak muda merupakan cerminan kepada masa depan pembangunan sesebuah negara.

Setiap individu mempunyai falsafah, autonomi dan kebebasan budaya terutamanya dalam menentukan hala tuju masing-masing.

Begitu juga dalam kerangka politik, setiap individu mempunyai hak untuk turut serta atau tidak.

Bagaimanapun, setiap rakyat harus mempunyai rasa kesedaran atau bertanggungjawab dalam menentukan kepimpinan dan masa depan negara.

Anak muda sedar bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Umno dan BN berada dalam keadaan yang cukup tertekan dan nazak, kita percaya bahawa selaku anak muda kita tidak mahu masa depan kita dan generasi akan datang musnah seperti peribahasa “nasi sudah menjadi bubur”.

Kebobrokan ini perlu diberhentikan.

Tidak ada guna sekiranya anak muda hanya mampu melalak dan menyatakan kebencian di laman sosial tetapi sampai hari ini tidak lagi mendaftar sebagai pengundi (had umur mengikut perlembagaan) dalam pilihan raya umum akan datang.

Kita perlu belajar dari pengalaman yang lepas bahawa 40 peratus anak muda yang layak untuk mengundi pada PRU13 yang lalu tidak menunaikan kewajipan dan amanah untuk keluar mengundi menyebabkan BN kekal berkuasa.

Umno dan BN termasuk konco-konconya tidak boleh diberi peluang lagi, kerana kerajaan yang ada pada hari ini tidak mampu untuk melaksanakan urus tadbir yang baik, telus dan amanah dalam menguruskan harta, wang rakyat dan tidak mampu untuk menegakkan keadilan pada tempatnya.

Ini kerana “ absolute power, corrupt absolutely ”.

Tidak ada cara lain untuk membuang virus ini hanya dengan mengubahnya dengan tangan rakyat yakni kuasa yang ada pada rakyat, sama ada secara di jalanan atau melalui peti undi.

Malu kita pada rakyat negara Thailand, Indonesia, dan Myanmar yang mana rakyat kita terlalu pemaaf sehingga mampu memaafkan kebobrokan yang sedang melanda negara Malaysia.

Isu rasuah, ketirisan, politik perkauman dan agama yang sempit, politik wang dan sistem perundangan yang dirobek demi kepentingan politik mudah sahaja dimaafkan dan di biarkan isu ini berlalu tanpa ada langkah yang radikal dan proaktif daripada rakyat apatah lagi anak muda.

Tuntasnya, anak muda dan seluruh rakyat perlu buktikan bahawa kita menolak Umno secara total kerana keborokan dan salah guna kuasa yang bermaharajalela.

Dalam pada masa yang sama Pakatan Harapan perlu tunjukkan pada rakyat bahawa mereka mampu menjadi alternatif yang terbaik dengan prestasi dan tawaran-tawaran kepada rakyat, bukan semata-mata atas emosi bencikan Umno-BN.

Lihat Komen
ADS