Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya sebagai anak jati Kepala Batas merasa terpanggil untuk membantu perdana menteri saya dalam menghuraikan dengan lebih panjang tentang Islam Hadhari yang PM kita sedang jelaskan secara terperinci sepertimana yang dikehendaki oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Tetapi amat malang apabila media massa elektronik dan bercetak telah tersilap dengan memanipulasikan Islam Hadhari itu menjadi Islam Hadhari Pak Lah, padahal ianya adalah keputusan sebulat suara dalam mesyuarat MT Umno bahawa Islam Hadhari itu adalah satu terbitan daripada Biro Agama Umno Malaysia.

Apa yang hendak dijelaskan di sini ialah kenapa Pak Lah sahaja yang bertungkus lumus untuk membentangkan Islam Hadhari, sedangkan kepimpinan tertinggi Umno yang lain tidak langsung berusaha untuk menghuraikannya setahap dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Pak Lah?

Kenapa kepimpinan Umno, kita baik di peringkat negeri ataupun bahagian, tidak pernah membincangkan secara totok tentang Islam Hadhari ini?

Kenapa dengan tidak semena-menanya ianya menjadi Islam Hadhari Pak Lah? Apabila ada pihak-pihak tertentu yang menyerang konsep Islam Hadhari ini, hanya Pak Lah sahaja yang mampu menjawabnya dengan baik.

Manakala kepimpinan Umno yang lain, baik di peringkat pusat, negeri, bahagian dan tambah-tambah lagi jika kita amati Pemuda pusat, Wanita dan Puteri, tidak mampu untuk menghuraikan falsafah dan metodologi Islam Hadhari ini.

Jika di zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi PM dahulu, apabila beliau menyebut sahaja dasar 'Pandang ke Timur', rata-rata kepimpinan Umno akan menghuraikan apa itu konsep 'Pandang ke Timur' sehinggakan ketua cawangan pun pandai membincangkan tentang teknologi.

Tetapi malangnya, kini apabila Pak Lah mengimamkan solat pun, tidak kelihatan mana-mana pimpinan yang lain meniru imej imam solat yang ditonjolkannya itu.

Sepatutnya, kepimpinan Umno juga dapat menguasai dan mengepalai majlis tahlil. Begitu juga dengan membaca khutbah Jumaat, mengimamkan solat jenazah dan memberikan syarahan agama kepada belia dan beliawanis kita.

Perkara ini perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan untuk agama, bangsa dan tanah air kerana sayugia diingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Jadikanlah Islam Hadhari itu sebagai satu realiti bukan hanya sekadar dengan mengadakan majlis forum-forum Islam. Sekiranya kita mengatakan kita sayangkan Pak Lah, maka sudah pastilah ianya membawa maksud yang kita juga turut sayangkan Umno.

Maka di sini, penulis ingin sarankan kepada semua kepimpinan Umno agar turut sama melaungkan Islam Hadhari sepertimana yang telah diputuskan oleh MT Umno yang sudah direstui Pak Lah. Penulis berharap, selepas ini tidak ada mana-mana pihak dalam Umno yang sanggup lagi membiarkan Pak Lah keseorangan dalam menentukan kecapaian Islam Hadhari ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS