Saya kagum dengan tulisan Kasim Lebai Hanafiah yang berbunyi Islam Hadhari perlu diperkasakan dengan menyatakan konsep Islam Hadhari sepatutnya dicanangkan oleh setiap lapisan pemimpin Umno. Dia juga mempersoalkan kenapa pimpinan Umno tidak membincangkan secara terperinci mengenai Islam Hadhari.
Jawapannya, pimpinan Umno sendiri pertamanya tidak mengamalkan Islam Hadhari dalam kehidupan seharian, dan keduanya, jika ditanya mengenai Islam Hadhari, yang pastinya mereka pun tidak faham. Jadi seelok-eloknya, biarlah Pak Lah dan yang faham sahaja yang bercakap.
Yang pastinya, konsep Islam Hadhari masih mengelirukan. Yang banyak diterangkan ialah Islam Hadhari adalah Islam yang progresif. Adakah Islam tidak progresif? Islam Hadhari � menurut kata Pak Lah � Islam yang kembali kepada asas dan 'fundamental'.
Bukankah menurut al-Quran dan Sunnah, itulah yang paling asas dan 'fundamental'. Jadi apa yang asas dan 'fundamental' dalam Islam Hadhari? Bukankah menutup aurat, mengamalkan hudud, menghapuskan riba, judi dan arak itu sesuatu yang asas dan 'fundamental'?
Terdengar pula yang mengatakan Islam Hadhari mengajak umat Islam supaya tidak hanya mementingkan akhirat tetapi menseimbangkan antara dunia dan akhirat. Pastinya, tanpa Islam Hadhari pun, Islam mengajak umatnya supaya maju dunia dan akhirat.
Jadi, tanpa Islam Hadhari pun, kita sudah boleh maju dan progresif. Adakah konsep Islam Hadhari ini lahir untuk menangkis konsep dakwah PAS ataupun kerana takut dengan tekanan Barat?
Yang paling penting ialah penerapan nilai Islam. Yang perlu dijelaskan dengan lebih penting lagi ialah konsep Islam, Iman dan Ihsan. Pastinya, tanpa konsep-konsep ini, Islam Hadhari akan hanya tinggal konsep dan nama sahaja.