Most Read
Most Commented
Read more like this

Kamus Dewan terus menakrifkan 'hutang' sebagai "wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain". Sementara takrifan 'pinjam' ialah 'memberi sesuatu untuk digunakan buat sementara (dengan janji akan dikembalikan apabila sampai tempohnya)'.

Istilah 'hutang' dari konotasi maknanya terus mengikat naluri manusia untuk segera melunaskannya. Tetapi, istilah 'pinjam' tidak begitu menyengat untuk segera melunaskan hutang. Jika masyarakat kita lazim menggunakan istilah 'hutang', mungkin sedikit demi sedikit, lama-kelamaan masyarakat kita boleh berubah.

Terdahulu, ada usaha menukar istilah 'kemalangan' kepada 'kecelakaan' di jalan raya. Dengan harapan, semoga kecelakaaan jalan raya berkurangan. Tapi, keadaan ideal itu tidak berlaku. Buktinya, gejala samseng jalan raya pula berlaku. Tetapi, kita masih boleh mencuba. Mana tahu jika ia membuahkan hasil.

Kita boleh mengukur beratnya masalah hutang dari segi panjangnya sepotong ayat al-Quran yang memberikan perincian kepada hal ini. "Wahai orang yang beriman! Apabila kamu berhutang yang diberi tempoh hingga suatu masa, maka hendaklah kamu tulis (hutang dan masa bayarannya) " (al-Baqarah: 282).

Kenyataan perdana menteri amat tepat pada masanya. Jika ada pelajar tidak mahu melunaskan hutang walaupun telah bekerja dan berkemampuan, maka hendaklah diambil tindakan untuk kebaikan semua.

Suasana makin gawat ketika PTPTN terpaksa berhutang RM2 bilion dari daripada KWSP pada 2003 sepertimana kenyataan beliau baru-baru ini. Mengikut logik, pihak yang kehabisan wang tidak perlu memberikan pinjaman ataupun sepatutnya berhenti sahaja memberikan hutang kepada peminjam.

Agak malang juga di zaman pasca moden ini, ketika kebanyakan universiti menuju ke era pengantarabangsaan dan universiti bertaraf penyelidikan, hal ini berulang. Kadang-kadang timbul persoalan; adakah dilema yang sama berlaku di universiti seluruh dunia? Hal ini patut dikaji lebih serius. Adakah pelajar seluruh dunia berhutang kepada agensi kerajaan, lalu mereka enggan membayar setelah bekerja?

Jika wujud, maka masalah ini bukan lagi masalah universiti kita, tetapi dilema yang melanda universiti seluruh dunia. Mungkin kita boleh mengkaji bagaimana sistem yang diamalkan oleh universiti lain untuk memungut semula wang mahasiswa yang berhutang.

Sementara meninjau kaedah universiti antarabangsa beroperasi memungut hutang daripada mahasiswa, mungkin ada baiknya jika semua pihak meneliti dan menimbangkan saranan di bawah untuk dibahaskan. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Pertama, siarkan di akhbar senarai nama graduan yang sudah bekerja dan berkemampuan, tetapi enggan melunaskan hutang tanpa alasan yang munasabah.

Kedua, pasangan mahasiswa yang ingin melangsungkan perkahwinan sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Mereka wajib membuka akaun bank; khusus kepada anak-anak yang baru lahir. Disiplinkan diri untuk memasukkan sekurang-kurangnya RM100 sebulan ke dalam akaun anak-anak mereka mengikut kemampuan sendiri.

Setahun boleh menjangkau RM1,200. Dalam 20 tahun, wang itu meningkat kepada RM24,000. Setidak-tidaknya, hal ini boleh mengelakkan seorang zuriat kita berhutang nanti. Perancangan harus dimulakan secara peribadi dan tersusun. Dan hal ini pula adalah serius oleh Islam. Al-Quran mengingatkan kita agar berasa bimbang kepada masa depan anak-anak kita yang lemah. Dan hal 'lemah' ini pula ada kaitannya dengan masalah 'wang'.

"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang daif (lemah), yang mereka bimbang terhadap (masa depan anak-anak) mereka; " (an-Nisa': 9)

Ketiga, ubah pemikiran supaya jangan berhutang atau seboleh-bolehnya cuba elak berhutang kecuali kita benar-benar terdesak sahaja. Kepada mereka yang masih mampu, cuba berunding dengan kedua orang tua jika mereka mampu biayai kita. Bermula tahun depan, jika ada biasiswa, maka rebutlah peluang. Namun, kalau ada pinjaman yang ditawarkan, elakkanlah kerana hal itu membuatkan kita lebih merdeka, tidak tertekan dan tertindas di bawah peraturan yang tidak jelas.

Keempat, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menjalankan kajian menyeluruh untuk menyelidiki punca-punca kenapa ada kalangan mahasiswa lepasan ijazah khususnya yang sudah bekerja dan berkemampuan, enggan melunaskan hutang. Hal ini penting juga kerana mungkin ada masalah-masalah lain yang tidak diketahui oleh kerajaan.

Kelima, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihentikan sementara waktu. Peruntukan kepada PLKN boleh disalurkan kepada PTPTN. Adalah lebih baik kita kurangkan hutang daripada KWSP kerana ia adalah hak milik rakyat. Wang KWSP adalah 'tanggungan berat' yang mesti dibayar semula.

PLKN adalah program 'sunat' dan bukan 'wajib' yang boleh disampingkan dan ia tidak mencederakan haluan pendidikan negara. Pendidikan rasmi seperti kos pembiayaian sekolah rendah, menengah dan universiti adalah contoh biaya 'wajib' kerana hal ini akan merencatkan pendidikan rasmi negara.

Keenam, mimbar masjid universiti setiap Jumaat boleh dijadikan saluran untuk mengingatkan semua peminjam di kalangan mahasiswa Muslim agar sentiasa menyimpan azam untuk melunaskan hutang mereka. Hal ini kerana, masalah hutang akan mendatang masalah di akhirat jika tidak dilunaskan di dunia.

Namun, kerajaan perlulah memikirkan pula saluran yang sesuai untuk mengingatkan mahasiswa bukan Islam mengenai perkara yang sama. Nampaknya, kita tidak boleh mengelak diri daripada pendekatan agama untuk menyeru masyarakat ke arah kebaikan. Dalam konteks yang kita bincangkan ini ialah hutang PTPTN.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS