Saya letih dan sedih membaca banyak tulisan yang dipaparkan di sini berkaitan dengan tindakan Jawi melancarkan satu operasi yang mengejutkan banyak pihak. Namun, terima kasih kepada malaysiakini yang bertindak adil dan saksama menyiarkan semua pandangan pembaca.
Tidak pelik apabila membaca tulisan sahabat bukan Islam yang mengkritik hebat operasi tersebut. Ini kerana mereka menilainya berdasarkan kepada ukuran agama mereka. Jika mereka ingin mengulas juga, perlulah memetik mana-mana ayat al-Quran atau Hadis Nabi Saw sebagai hujah. Jika tidak, ia hanya ibarat menilai sebuah buku berdasarkan kepada buku yang lain, yang tiada kaitan langsung.
Cukuplah daripada menilai kesucian agama Islam dengan kaca-mata anda yang tidak tahu tentang Islam. Mungkin anda tertanya-tanya apa yang saya maksudkan di sini. Pertanyaan anda itu sebenarnya bukti yang amat kukuh anda perlu mengenali Islam sebelum berhujah tentang agama ini, atau berhujah tentang sikap agama ini terhadap perjalanan hidup seorang Muslim.
Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila membaca tulisan sahabat seagama, yang langsung tidak tahu apa yang dikehendaki oleh Allah Taala dan apa yang dilarangNya, serta apa pula kerja dan mesej yang dibawa oleh Nabi Muhammad daripada Allah Taala untuk kita, bahkan seluruh manusia!
Islam berbeza dengan agama lain kerana ia bukan hanya satu agama 'ritual', atau hanya tentang persoalan ibadah semata-mata. Ia bukan hanya bagaimana anda sayang kepada tuhan anda, atau bilakah anda perlu mengingati tuhan anda, itu sahaja. Islam cukup sempurna, malah kesempurnaan ini akan terserlah jua suatu hari nanti.
Kepada sahabat seagama, fahamilah Islam, anda akan bahagia di dunia dan akhirat. Janganlah melihat Islam dengan kaca-mata agama lain yang mempunyai ajaran yang tersendiri. Dan kita menghormatinya. Islam tidak sesekali mengecam, menghina atau memperlekehkan agama lain. Apa yang Islam larang ialah, penganutnya memahami Islam dengan cara agama lain.
Jika kita masih degil dengan semua ajaran Islam, lakukanlah apa yang disarankan oleh sahabat kita, Mohamad Zaki Sahad . Itulah juga pesanan Nabi kita, lebih 1,400 tahun yang lalu.
