Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Pernah beberapa kali kedengaran pegawai penguatkuasa jabatan agama di beberapa negeri telah menangkap orang Islam yang sedang membeli 'nombor ekor' di kedai judi. Tetapi perkara ini jarang kedengaran di Negeri Sembilan. Adakah tidak ada orang Islam di negeri ini yang menjadi pelanggan-kedai judi atau tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil?

Akan tetapi jika kita melalui pekan Senawang pada hari-hari tertentu, kita akan dapati dari jauh kedua-dua kedai judi di situ dikerumuni pelanggan yang berkulit sawo matang, raut wajahnya memang orang Melayu tempatan. Bukan itu sahaja, ada di kalangan mereka yang mendokong anak mereka masuk ke kedai judi tersebut.

Di samping itu, akan terdapat juga peniaga 'segera' yang mengambil kesempatan untuk menjual nombor 'bertuah'. Ada juga beberapa peniaga jalanan yang mengadakan jualan barangan secara lelong.

Gelagat mereka ini seakan-akan menggambarkan sebagai perkara biasa bagi orang Melayu di Negeri Sembilan melanggani judi, sehinggakan mereka boleh melepak di kedai kopi berhampiran bercerita serta membuat analisa nombor yang telah mereka pilih.

Apakah tiada langsung penguatkuasaan jabatan agama di Senawang dan tempat lain di Negeri Sembilan? Atau mungkin jabatan agama sendiri kekurangan peruntukan dan sumber manusia untuk menangani masalah tersebut ?

Walauapa pun, kita sebagai rakyat hanya mampu menegur manakala yang menjadi mangsa ialah generasi muda dan yang sedang membesar yang melihatkan seolah-olah amalan mengunjungi kedai judi oleh orang Islam bukanlah satu kesalahan.

ADS