Sejak akhir akhir ini wujud kecenderungan di kalangan pemimpin politik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang begitu ghairah menuding jari terhadap apa jua isu yang melibatkan penguatkuasaan undang undang dan perlaksanaan tugas dalam bidang-bidang tertentu. Dalam banyak keadaan, pemimpin jenis ini hanya melihat sesuatu isu itu dari aspek kepentingan mereka, sama ada dari sudut politik kelompok, kaum mahupun pegangan agama.
Malah ada ketikanya kenyataan beberapa pemimpin politik kerajaan, pembangkang mahupun pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) jelas begitu sempit, berkepentingan kelompok atau kaum dan bersifat hipokrit. Apabila isu yang melibatkan agama, adakalanya kenyataan dan pendapat pemimpin jenis ini begitu lemah, tiada 'isi', berat sebelah, malah membosankan.
Dan yang paling malangnya, dalam mengadili isu-isu ini, kerapkali ia bersifat berat sebelah. Hanya pendapat pemimpin sahaja yang diambil kira dan di 'riuh rendahkan' sedangkan pihak yang terlibat seperti pihak penguatkuasaan atau kerjaya yang terlibat, tidak diberi peluang membuat penjelasan mahupun penafian, malah disenyapkan terus tanpa ada pembelaan.
Apa yang sering terjadi, hanya suara satu pihak yang didengar sementara satu pihak akan terus dilabelkan sebagai 'bersalah' di dalam pengadilan terbuka ini. Beberapa bulan lalu apabila tersiar cerita mengenai 'seorang' murid di antara puluhan murid yang didenda kerana tidak melakukan kerja sekolah digempar gempurkan sebagai mangsa kekasaran seorang guru sekolah menengah di Kepala Batas, Alor Star.
Akibatnya bermacam-macam kenyataan dibuat oleh pemimpin, menteri dan pegawai pendidikan yang menjurus kepada menyebelahi 'murid tersebut yang kononnya cedera dipunggung' sedangkan guru tersebut terpaksa menahan sabar akibat cemuhan ibu bapa, pemimpin masyarakat, menteri dan orang orang berpengaruh yang majoritinya meletakkan kesalahan kepada guru berkenaan.
Ada juga suara-suara sumbang yang mencadangkan agar tindakan diambil ke atas guru tersebut. Pemimpin politik mengambil kesempatan dari sudut politik sempit dan ibu bapa pula terus menghukum guru berkenaan. Di pihak guru tersebut pula, tiada suara atau kenyataan yang membela tindakannya merotan murid itu. Pemimpin kesatuan guru juga dilihat begitu ghairah menyarankan 'cara dan budaya' yang kononnya patut diambil oleh guru berkenaan.
Kemudian timbul pula cerita mengenai seorang penjual VCD dan seorang orang awam tertembak oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Pulau Pinang.
Lagi sekali beberapa pemimpin politik begitu ghairah terus menyalahkan pegawai tersebut. Penjual VCD itu yang belum tentu `haram atau halal' diziarahi beberapa pemimpin politik yang melihat tindakan pegawai tersebut sebagai tidak professional.
Dalam sibuk-sibuk orang 'membela' penjual VCD itu, pegawai penguatkuasa tersebut mungkin sedang memikirkan masa depan kerjayanya akibat penguatkuasaan undang-undang yang diamanahkan kepadanya. Lagi sekali beliau tidak ada peluang dan ruang untuk membuat penjelasan atau penafian mengenainya.
Yang paling terbaru apabila pegawai Jawi membuat serbuan di Zouk Disco di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Riuh rendah di media tempatan yang memaparkan kenyatan pemimpin, termasuk Dr Rais Yatim yang begitu 'asyik' dengan 'budaya dan falsafah undang-undangnya', yang terus menyarankan agar masalah moral ditangani oleh keluarga dan tidak perlu ada polis moral di negara ini.
Puteri Umno pula menyarankan agar Jawi 'menasihati' mereka yang berpakaian tidak senonoh itu dengan cara yang lebih berhemah. Manakala seorang bekas ketua pengarang akhbar tempatan pula menyarakan agar orang Islam lebih menumpukan perhatian kepada peningkatan tamadun Islam, dari terus membuat serbuan di kelab kelab malam.
Sisters In Islam juga mahukan tindakan serbuan tersebut dilakukan dengan berhemah dan perlu dilihat dari sudut 'Islam sebagai agama liberal'. Hujah mereka mengenai hukum Islam benar benar mengecewakan.
Hanya dua manusia yang agak berhemah dan benar-benar 'bertamadun' yang mengulas dengan menggunakan akal dan fikiran Muslim yang waras dan terpuji. Pemimpin Pemuda Umno, Shamsul Najmi Shamsuddin dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa serbuan yang dilakukan adalah bertepatan kerana adalah salah bagi seseorang Muslim berada dan dilihat 'bersubahat' di tempat arak disediakan dan terlibat dengan perjudian.
Dr Abdullah Md Zain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dan Jawi secara amnya, dengan tegas membela tindakan pegawai Jawi tersebut dan menyifatkan tindakan mereka sebagai mengikut peraturan dan undang-undang Islam. Inilah contoh ketegasan pemimpin yang berhemah dan berbudaya Islam.
