Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa simpati dengan kira-kira 100 orang pemuda dan pemudi yang turut ditahan oleh Jawi dalam satu serbuan baru-baru ini.

Saya ingin jelaskan di sini bahawa serbuan dan tangkapan yang dibuat oleh Jawi ini amat bertentangan dengan konsep Islam Hadhari. Islam Hadhari yang bertamadun tidak pernah membenarkan seseorang diperlakukan dengan kasar oleh pegawai Jawi, apatah lagi dia ditahan di tempat yang jelek bagi seorang Islam untuk kunjungi serta dalam keadaan yang mengaibkan sehingga mendapat layanan seperti seorang 'banduan'.

Saya ingin mempersoalkan mengapa tiada peraturan yang jelas mengenai pengunjung yang dibenarkan pergi ke 'pub' atau kelab malam. Adakah orang Islam dibenarkan? Apakah pakaian yang dibenarkan? Mengapa tidak dijadikan ia peraturan dan sesiapa yang melanggar peraturan tersebut?

Ini tentunya membawa maksud tindakan ini amat bertentangan dengan Islam Hadhari. Islam Hadhari yang memfokuskan tentang ketamadunan bangsa dan kemajuan negara, tidak pernah menyalahkan individu apabila individu terbabit tidak menutup aurat.

Apatah lagi jika seseorang itu memakai baju tanpa lengan. Ini kerana individu terbabit bukanlah seksi sehingga meniru artis barat yang terang-terangan lari dari nilai ketimuran.

Islam Hadhari juga tidak mengharamkan hiburan kerana pemuda-pemudi Islam juga wajar mendapatkan hiburan selepas penat lelah bekerja atau belajar di siang harinya. Apakah mereka bersalah sekiranya mereka ingin bersuka dan berhibur sambil mendengar lagu kesukaan mereka secara 'live'?

Tindakan Jawi itu telah mencemarkan imej Islam Hadhari yang tentunya melarang seseorang menghina remaja wanita berikutan pakaian mereka yang dikatakan kurang sopan dan tidak membenarkan salah seorang daripada mereka ke tandas untuk membuang air kecil.

Saya amat menyokong tindakan yang diambil oleh kepimpinan Pergerakan Puteri Umno Malaysia yang menyediakan sebuah pasukan peguam untuk membantu remaja-remaja wanita yang terlibat bagi mendapatkan hak pembelaan yang sewajarnya di mahkamah.

Saya juga menyeru agar pihak Jawi atau mana-mana pihak berkuasa agama negeri, supaya tidak menjalankan operasi penguatkuasaan tanpa mengikut garis panduan umum dan etika yang disediakan, di samping mendapatkan aduan awam terlebih dahulu.

Saya berharap kejadian yang memalukan sebegini rupa, haruslah dijadikan iktibar oleh Jawi dan pihak berkuasa agama negeri yang lain supaya ia tidak lagi berulang di masa hadapan. Marilah kita sama-sama memajukan negara kita dengan memberikan sumbangan yang lebih berfaedah.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS