Paling Popular
Terkini

Semenjak Tuan Guru Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RU) persendirian mengenai hudud baru baru ini, suasana politik negara makin hangat.

Yang Berhormat-Yang Berhormat (YB) dengan cepat mengeluarkan kenyataan menolak RUU tersebut dan pelaksanaanya. Malahan, YB mengugut untuk meletakkan jawatan seandainya Hudud dilaksanakan. Itu memang hak YB untuk membantah.

Masalah nya,

Begitu pantas reaksi YB sedangkan RUU itu belum lagi dibentang secara rasmi di peringkat pertama. Ia belum lagi dibahaskan. Ia juga belum lagi diluluskan oleh Parlimen dan belum lagi diluluskan oleh mana-mana DUN. Katanya kerana pelaksanaan RUU tersebut akan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya mohon YB jawab persoalan saya, sekiranya benar YB ingin melindungi kedaulatan undang undang negara.

Di manakah YB ketika Perlembagaan Persekutuan yang menjadi payung undang undang Malaysia dicabul?

Ketika Peguam Negara (AG) diberhentikan tanpa sebarang sebab yang munasabah?

Ketika SOSMA disalahgunakan untuk menghukum mereka yang berlainan pendapat?

Ketika cadangan dari SPRM dan Bank Negara diketepikan dan ditolak bulat-bulat?

Di manakah YB ketika kegawatan politik dan isu 1MDB merobek maruah negara dan menjejaskan masa depan negara?

Di manakah YB ketika laporan Ketua Audit Negara berkenaan isu 1MDB dirahsiakan dan disorok dari pengetahuan rakyat? Sedangkan laporan seperti itu amat penting dikongsi secara meluas bagi memastikan ketelusan dan kejujuran dalam pentadbiran.

Di manakah YB bila 1MDB menanggung liabiliti sebanyak RM53 Billion yang datang dari poket rakyat Malaysia?

Sedangkan wang sebanyak itu mampu digunakan untuk membiaya kos penuh bagi lebih daripada 1 ribu mahasiswa ke universiti universiti terhebat dunia.

Sedangkan wang sebanyak itu mampu menjamin pembanguan negara yang lebih pesat.

Sedangkan wang sebanyak itu mampu meningkatkan taraf hidup rakyat lebih lebih lagi bagi mereka yang hidup dalam kemiskinan.

Di manakah YB ketika lebih kurang RM4.2 juta disalurkan ke syarikat Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low? Sedangkan YB sudah sedia maklum tentang hubungan persahabatan antara YAB PM dengan Jho Low yang kini sedang disiasat oleh kerajaan Amerika berkenaan pembelian harta menggunakan sumber yang mencurigakan.

Di manakah YB ketika BSI, sebuah Bank yang berpusat di Switzerland ditutup oleh Kerajaan Singapura kerana penglibatan dalam isu 1MDB?

Sedangkan sudah jelas dalam laporan MAS bahawa BSI terlibat dengan penyalahgunaan wang yang sangat serius.

Di manakah YB ketika semua ini yang sememangnya menyalahi undang-undang dan menconteng arang ke atas nama baik negara terjadi? Mengapa YB duduk berdiam diri, mendiam seribu bahasa?

Sedangkan perbuatan YB boleh mencetus satu tanggapan bahawa tidak kira apa jua yang berlaku, sebesar mana pun kesalahan yang dibuat, ahli-ahli politik yang mentadbir negara akan terselamat dari sebarang liabiliti.

Sekali lagi, juga sebagai rakyat yang prihatin, saya memohon kepada YB.

Sekiranya YB mampu bersuara lantang "memperjuangkan rakyat", menentang RUU yang belum lagi dibahaskan, mengapa tidak bersama kami memperjuangkan kebenaran, menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.

Sekiranya YB mampu, kenapa pilih untuk membisu?


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN Jurucakap Gerakan CHALLENGER

 

Lihat Komen
ADS