Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari lalu, isu memorandum MCA yang meminta kerajaan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SRJK (C)] di kawasan yang padat dengan penduduk bangsa Cina tiba-tiba menjadi begitu hangat sekali.

Pelbagai bantahan dari pihak-pihak tertentu memenuhi ruang akhbar, sedangkan bayang memorandum tersebut pun belum kita nampak lagi.

Dengan tergopoh-gapah, peminpin MCA sibuk menjelaskan keadaan. Dari satu sudut, presidennya menjelaskan kepada masyarakat Melayu bahawa ini bukan satu tuntutan ataupun desakan, tetapi satu permintaan dari MCA dan menyeru semua pihak jangan membincangkan hal ini lagi dan biarlah ia diselesaikan melalui saluran dalaman Barisan Nasional.

Dari sudut yang lain pula, Setiausaha MCA Ting Chu Pei memberitahu masyarakat Cina bahawa MCA tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan tetap akan memperjuangkan kebajikan masyarakat Cina.

Ditambahnya, isu ini adalah sengaja dimain-mainkan oleh sesetengah media supaya masyarakat Melayu, yang tidak mengetahui keadaan sebenar, berdiri membantah permintaan rasional MCA.

Manakala Menteri Pelajaran Hishammuddin Hussein pula sempat memberi ingatan kepada persatuan Cina supaya jangan mengambil kesempatan untuk menghantar memorandum berbentuk mendesak kerajaan menambah bilangan SRJK(C).

Sememangnya, perkara ini telah diperbesarkan. Apa yang perlu dibimbangkan sangat dengan permintaan masyarakat Cina supaya bilangan SRJK(C) dibina mengikut keperluannya?

Bukankah semua telah mengenal pasti bahawa 'Bahasa Jiwa Bangsa'? Dan ia harus diperkayakan dari generasi ke generasi supaya tidak kehilangan akar-umbi dalam arus pembangunan yang semakin pesat?

Pernahkah tuduhan bahawa mendirikan lebih banyak SRJK(C) akan menjejaskan perpaduan kaum negara kita? Jika dikaji dari silabus mata pelajaran SRJK(C), boleh didapati bahawa unsur-unsur perpaduan awal-awal lagi telah ditekankan dalam semua aspek dari segi permahaman, saling menghormati antara kaum hinggalah ke seni budaya dan adat-istiadat pelbagai kaum.

Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara juga diberi pernekanan yang secukupnya supaya semua pelajar akan faham, fasih, malah menghayati kecantikan Bahasa Malaysia.

Tengok, bukankah sebagai seorang warga negara yang berbangsa Cina, saya, boleh menulis dalam Bahasa Malaysia dengan begitu lancar sekali? Walaupun tidak sebaik mana, tetapi sekurang-kurangnya boleh menyampaikan segala yang ingin disampaikan.

Jika khuatir, pergilah tanya mana-mana murid sekolah SRJK(C), manakah tanahairmu? Jawabnya pasti Malaysia. Siapakah Bapa Kemerdekaan negara? Jawabnya pasti Tunku Abdul Rahman.

Tiada seorang pun murid SRJK(C) yang tidak tahu nyanyi lagu 'Negaraku' kerana seperti di sekolah kebangsaan, 'Negaraku' dinyanyikan setiap kali perhimpunan diadakan.

Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Ia tetap kekal benar, tidak kira apa pun bahasa pengajaran dan pembelajaran yang digunakan. Maka, tiada sebabpun kita perlu takut kepada pembinaan sekolah Cina mengikut keperluannya.

Bukan setakat itu sahaja, jika dilihat dari aspek yang lebih luas, wujudnya sekolah pelbagai aliran bukan sahaja tidak menghalang pembangunan segala aspek negara, malah ia merupakan harta bernilai bagi negara kita.

Pendidikan pelbagai aliran merupakan harta seni budaya negara yang dikurniakan khas oleh sejarah. Ia bukan sahaja tidak perlu dihentikankan, tetapi merupakan sesuatu yang harus diagung-agungkan oleh segenap rakyat dan kerajaan.

Tiada apa yang harus dibimbang dengan wujudnya sekolah berbilang aliran. Tidak perlulah menghentikankan pembinaan sekolah SRJK(C) sedangkan ia merupakan harta negara dan hak asasi manusia yang dasar sekali.

ADS