Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya ingin menambah maklumat pada surat yang bertajuk Mengapa hentikan pembinaan sekolah Cina? tulisan saudara Ngo Jian Yee.

Izinkan saya menyampaikan ucapan tahniah buat saudara Ngo yang berjaya menulis pendapatnya dalam bahasa ibunda Malaysia yang begitu teratur, sekaligus melambangkan tahap percampuran dan pergaulannya yang baik sesama bangsa Malaysia.

Ingin saya memperkenalkan tahap pendidikan saya untuk tatapan pembaca. Saya adalah seorang bangsa Melayu yang dilahirkan di Malaysia dan telah bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) pada tahun 1983-1988 dan melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi di sekolah menengah Cina pada 1989-1993.

Pendidikan yang saya terima di kedua-dua sekolah ini amat mengagumkan, kerana selain berpeluang belajar bahasa ibunda kaum Cina, Bahasa Mandarin, saya juga dapat memahami budaya, kepercayaan dan yang penting sekali pemikiran kaum Cina.

Sepanjang persekolahan itu, saya menerima layanan yang agak istimewa dari guru-guru saya, memandangkan ketika itu tidak ramai kaum Melayu bersekolah Cina. Layanan istimewa tersebut ialah:

  • Guru saya telah memegang tangan saya untuk mengajar saya menulis huruf-huruf yang asing buat saya;

  • Tidak membiarkan saya terkontang-kanting seorang diri di dalam kelas tanpa memahami apa yang diajar; dan
  • Memberi biasiswa kepada saya.
  • Walaupun pada ketika itu tidak ada mata pelajaran Agama Islam (kerana dalam sebuah sekolah, hanya ada tiga orang pelajar Melayu ketika itu), saya diajar mata pelajaran Pendidikan Moral. Mata pelajaran ini menjurus kepada pengajaran tentang adab sopan, tatasusila dan peraturan kehidupan manusia.

    Pada pendapat saya, kesan daripada ajaran mengenai kesopanan, tatasusila dan peraturan itu sejak di bangku sekolah lagi, dapat di lihat pada hari ini di mana kebanyakan jenayah adalah dilakukan oleh kaum Melayu sendiri. Mengapa?

    Mungkin kerajaan lupa untuk menitik-beratkan mata pelajaran ini kerana berpendapat di rumah, anak-anak diajar tentang sopan-santun oleh ibubapa. Silap sekali anggapan ini.

    Bagi saya, matapelajaran yang ada pada hari ini, silabus-silabus yang ada adalah 'cedukan' yang telah diajarkan kepada saya 22 tahun yang lalu sejak saya bersekolah rendah. Ini menunjukkan betapa pelajar aliran sekolah kebangsaan amnya dan bangsa Melayu khasnya, telah ketinggalan begitu jauh. Amat jauh sekali.

    Bebanan beg yang berat yang dipikul oleh anak-anak sekarang adalah sama seperti bebanan beg yang pernah saya kendong 22 tahun lalu. Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui betapa pentingnya kewujudan sebuah sekolah Cina kerana tahap pendidikan yang diajar amat tinggi, berbanding apa yang diajarkan di sekolah kebangsaan.

    Tidak percaya? Rujuklah pada buku-buku teks mereka, baru akan faham apa yang saya maksudkan.

    Memang saya akui, kehebatan ilmu yang ada pada orang Cina - sehinggakan Nabi Muhammad (SAW) menyuruh kita belajar sehingga ke negara Cina - telah membuatkan kerajaan tidak senang duduk. Mana tidaknya, mereka tidak dapat merasa gah dengan silabus-silabus sekolah kebangsaan berbanding apa yang disediakan oleh Sekolah Cina.

    Mereka tidak dapat mengatakan 'We are the champions'. Sesungguhnya, sekolah Cina amat menggalakkan anak muridnya bersikap kritis. Kita harus berani bersikap mengkritik dan dikritik.

    Sebenarnya, kerajaan Barisan Nasional yang mana kementerian pelajarannya yang ada pada hari ini seharusnya belajar bagaimana silabus-silabus sekolah Cina dapat direka begitu baik dengan ilmu yang bagaimana harus ada pada rakyat Malaysia. Ini terlebih dahulu daripada memikirkan sama ada perlu atau tidak sekolah Cina ditambah.

    Kualiti yang bagaimana patut ada pada seorang guru sekolah kebangsaan, juga perlu dipelajari dari guru-guru sekolah Cina. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk berterima kasih yang amat kepada bekas guru-guru sekolah Cina saya. Terima kasih, cikgu!

    ADS