Dua bulan kebelakangan ini begitu hebat debat mengenai kewajaran untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya antara agama di Malaysia. Debat ini timbul apabila terdapat usaha yang diterajui Malik Imtiaz Sarwar dari Majlis Peguam dan Harcharan Singh dari badan 'Malaysia Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism' menganjurkan satu seminar ke arah penubuhan sebuah suruhanjaya antara agama di negara ini.
Ramai yang telah memberikan komen yang berapi-api, sama ada yang setuju mahupun yang menentang. Sebagai seorang yang percaya dan cuba membawa idea pembaharuan, maka saya merasa terpanggil untuk memberikan pendapat berhubung isu sensitif ini, khususnya apabila dilaporkan, cadangan dan rang undang-undang penubuhannya, telah dikemukakan oleh jawatankuasa pemandunya, kepada pihak kerajaan.
Laporan itu juga menyebut bahawa salinan rang undang-undang tersebut, bersama kenyataan pleno serta lampiran-lampiran berkenaan, telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak serta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Setelah meneliti perkembangan semasa dan beberapa kenyataan dari semua pihak, maka saya merasakan bahawa kegusaran pihak yang menentang penubuhan jawatankuasa itu mungkin ada asasnya juga. Namun, untuk menolak terus juga, adalah tidak munasabah.
Pertama sekali, sebelum menubuhkan sebuah suruhanjaya yang digelar Suruhanjaya Antara Agama ini, semua pihak harus memikirkan siapa yang seharusnya menjadi anggotanya. Individu yang menganggotai suruhanjaya ini seharusnya merupakan mereka yang pakar dalam bidang agama masing-masing.
Kepakaran mereka ini juga seharusnya diterima dan diiktiraf oleh masyarakat. Seperti sabda Rasullullah SAW: 'Apabila diletakkan sesuatu amanah kepada yang bukan ahlinya, maka
tunggulah kehancuran'.
Bilangan keanggotaan juga seharusnya mencerminkan jumlah komposisi penganut agama masing-masing dalam negara ini. Penubuhan jawatankuasa ini juga perlu atas rasa hormat antara satu dengan lain, bukan untuk bersaing, menindas atau menghakis pengaruh mana-mana agama, selain seharus mengakui secara nyata perlembagaan negara dan menghormati kontrak sosial yang telah lama terbentuk.
Pertikaian mengenai akidah dan kepercayaan seboleh-bolehnya dielakkan. Contohnya, amatlah tidak bagus, jika atas nama hak asasi atau kesamaan jantina, maka menggunakan suruhanjaya ini untuk mendesak agar wanita boleh menjadi imam atau mufti dalam agama Islam. Contoh kedua adalah amat tidak adil untuk mempertikaikan mengapa golongan'Father' dalam agama Khatolik tidak dibenarkan berkahwin.
Perbincangan mengenai suruhanjaya ini seharusnya ke arah mengharmonikan amalan beragama di negara ini dan memperkasakannya. Dalam membentuk kerajaan reformasi, penekanan pembentukkan masyarakat madani diberi perhatian. Dalam masyarakat madani, amalan agama adalah antara yang ditekankan. Ini kerana semua agama mengajak penganutnya ke arah budaya hidup yang sihat, bermoral dan adil.
Ini merupakan syarat utama dalam penubuhan suruhanjaya ini, iaitu memperkukuhkan nilai keagamaan dalam masyarakat. Ini dilihat penting apabila kita melihat masalah moral, etika dan akhlak dalam masyarakat, khususnya remaja.
Contohnya, agama mana yang membenarkan penganutnya hidup di luar batasan akhlak dan moral kerana secara 'universal', semua agama menyeru umatnya ke arah kebaikan. Tidak ada agama yang membenarkan zina (hubungan tanpa ikatan sah), seks bebas, sumbang mahram, mabuk yang melampau, berpakaian yang lucah dan seumpamanya.
Merujuk kepada serbuan Jawi ke atas satu disko baru-baru ini sehingga menimbulkan kontraversi, yang timbul mungkin kerana penguatkuasan yang tidak jelas prosedur atau serbuan yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu mengganggu remaja yang menganut agama lain kerana mereka tidak mempunyai kuasa ke atas bukan penganut Islam.
Di sinilah seharusnya peranan yang perlu dimainkan oleh suruhanjaya yang bakal dibentuk Serbuan seperti ini seharusnya dibuat dengan disertai pihak suruhanjaya antara agama ke arah memperkasakan amalan agama masing-masing. Tindakkan seperti penguatkuasaan, nasihat dan kaunseling, seharusnya di mainkan oleh suruhanjaya ini kepada penganut agama masing-masing, melalui serbuan yang dibuat, jika didapati melakukan salahlaku yang terkeluar daripada etika agama mereka
Suruhanjaya ini juga berperanan menerangkan kepada penganut masing-masing supaya menghormati hak agama lain ketika agama tersebut menjalankan ajarannya kepada penganutnya. Jika ini merupakan inspirasi kewujudan suruhanjaya antara agama ini, maka ia ini merupakan masa yang sesuai kerana mungkin ia mampu menyelamatkan masyarakat yang semakin jauh dengan agamanya.
Tetapi jika matlamatnya bukan ini, maka penubuhannya amat tidak sesuai.dan hanya mengundang kontrovesi yang merosakkan keharmonian yang terbentuk selama ini.
Pihak Angkatan Muda Keadilan sedia bersikap terbuka untuk berbincang mengenai perkara ini dan kami bersedia untuk menemui delegasi jawatankuasa pemandu penubuhan suruhanjaya antara agama ini untuk berdialog mengenai perkara ini.
Kita juga memohon kepada semua pihak agar bersikap terbuka dan saling menghormati dalam membincangkan perkara ini
Penulis adalah timbalan ketua penerangan merangkap pengerusi Biro Hal Ehwal Masyarakat, Angkatan Muda Malaysia, Parti Keadilan Rakyat.
