Menemui Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan. Setelah sekian lama saya berada di di bawah kepimpinan Kak Wan dan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Selangor, saya ingin nyatakan di sini bahawa 'trend' dan stail perjalanan muslimat di negeri tersebut memerlukan satu perubahan secara 'total'.
Adik sebagai ahli PAS dan muslimat di Selangor, merasakan 'trend' dan stail kepimpinan Kak Wan dan ahli jawatankuasa (AJK) Muslimat di Selangor masih di tahap tahun 90-an, seperti muslimat negeri adik di Terengganu. Apa yang berbeza di antara muslimat Selangor dan Terengganu hanyalah dari segi pakaian dan tempat tinggal, iaitu di kota metropolitan yang mempunyai segala kemudahan.
Adik amat gusar apabila kita muslimat ini boleh diumpamakan sebagai sebuah organisasi tentera yang program paginya, tengaharinya, petangnya dan malamnya serta subuhnya, adalah program dalaman sesama kita sahaja. Tidak ada langsung inisiatif bagi mengadakan program yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat umum. Program Puteri Umno kebanyakannya melibatkan orang ramai dan kita pula cuba menjauhkan orang ramai dari datang ke program kita.
Adik yakin, perkara sebegini telah berlaku kerana kita hanya suka 'bancuh-bancuh' dalam kelompok yang berwarna hijau putih sahaja. Dalam pada itu, kita tidak punya keberanian untuk 'menggaulkan' hijau putih dengan warna lain kerana kita mempunyai tubuh yang besar dan gagah tetapi pada masa yang sama 'pemikiran kita kosong'.
Kak Wan, adik telah mengikuti edisi internet dalam pelbagai lamanweb yang terkenal dan terbaca artikel yang mengkritik Kak Wan dan jentera Kak Wan. Ini mengundang rasa yang lebih yakin lagi dalam diri adik bahawa 'trend' dan stail Kak Wan dan AJK muslimat Selangor adalah 'ketinggalan zaman'.
Justeru, adik ingin menasihatkan Kak Wan bahawa imej yang lemah-lembut, sopan dan anggun tidak boleh dijadikan modal ketrampilan kita semata-mata, tetapi pada masa yang sama 'kebijaksaan berfikir' juga penting. Janganlah disalahertikan nasihat adik ini kerana Islam itu merupakan agama nasihat-menasihati, sebagaimana yang dituntut oleh Rasulullah SAW.
Adik dengan ikhlas hati mengharapkan agar Kak Wan dapat berfikir secara matang. Sekiranya kita menganggap kita layak menerajui kepimpinan muslimat hanya berdasarkan pelawaan kawan-kawan, sedangkan pemikiran kita kosong, maka lebih baik bagi Kak Wan untuk memberi laluan kepada orang lain yang ingin melakukan perubahan yang mantap.
Dan sekiranya Kak Wan merasakan Kak Wan masih punya kekuatan untuk mengharungi mimpi ngeri lagi, adik tidak akan menghalang usaha Kak Wan untuk teruskan perjuangan. Tetapi yang pastinya adik dan sahabat muslimat Selangor mahu menegaskan bahawa kami mahukan satu perubahan 'trend' dan stail dalam muslimat Selangor agar tidak lagi bergerak dalam sistem tarbiyyah seumpama di zaman 'dinasour'.
Perlu diingat bahawa adik dan sahabat-sahabat muslimat tidak sesekali hendak menukar konsep dan perjuangan PAS mahupun aqidah Islamiah, tetapi kami tidak sanggup lagi untuk meredhakan diri kami berada di dalam kepimpinan yang 'body aje smart belake' tapi mempunyai otak yang 'backward'.
Adik berharap Kak Wan dapat memberi laluan kepada muslimat yang lebih mampu untuk menggerakkan Dewan Muslimat PAS Selangor untuk menjadi contoh kepada dewan muslimat di negeri lain.
Adik ingin membuat peringatan bahawa dosa dan pahala adalah merupakan satu rencana dari kita sendiri sedangkan Allah SWT mahu mengetahui di atas segala niat baik dan buruk kita walaupun kita berada dalam perjuangan yang berlandaskan kepada Islam.
Harapan adik apabila berlakunya perubahan dalam 'trend' dan stail perjalanan muslimat PAS di Selangor ini, maka sudah pastilah ia mampu bersaing dengan Wanita dan Puteri Umno dalam menyusun gerak kerja kita untuk menjadi satu-satunya wadah politik wanita dalam Selangor.
Akhir kata, adik memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekasaran sepanjang adik meluahkan isi hati yang terbuku selama ini. Mudah-mudahan Allah SWT meredhai perjuangan Islam yang dibawa oleh kita dan memenuhi syarat-syarat untuk dikurniakanNya dengan kemenangan di dunia dan akhirat.
