Jumlah 80,000 graduan di Malaysia menganggur memang merupakan satu angka yang agak tinggi. Bayangkan jika ditambah dengan jumlah lepasan PMR, lepasan SPM dan STPM yang turut menganggur. Ini belum termasuk jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat skim pemberhentian secara sukarela yang ditawarkan oleh pihak swasta kepada kakitangannya bagi mengurangkan kos operasi.
Jika di congak-congak, kemungkinan besar jumlah keseluruhan pengangguran di Malaysia melebihi 150,000 orang. Satu angka yang cukup besar!
Baru-baru ini say berjumpa dengan kawan lama yang sama-sama menamatkan pengajian pada 1999. Bayangkan sehingga sekarang beliau belum mempunyai pekerjaan tetap. Mula-mula jadi operator kilang dan sekarang bekerja sementara menggantikan guru cuti bersalin. Payah sangat kehendak dapat kerja sekarang ataupun graduan kita memang memilih pekerjaan?
Namun rata-rata kenalan yang saya jumpa kebanyakan tidak memilih pekerjaan. Malah, ada yang sampai merayu-rayu inginkan pekerjaan jadi kerani atau operator pun tak apa. Cuci pinggan kat kedai makan pun sanggup, janji dapat kerja.
Hujung minggu lalu saya ke UKM berjumpa dengan beberapa pelajar tahun akhir bagi membincangkan petua menghadapi alam pekerjaan. Antara keluhan mereka ialah bukan setakat sukar mendapat kejar, tetapi hendak memohon tempat untuk latihan industri pun terlalu sukar.
Walaupun menghantar permohonan kepada lebih 30 syarikat pun, belum tentu boleh dapat. Lantaran itu, saya ingin menyeru kepada badan kerajaan dan swasta supaya membuka ruang dan menyediakan tempat kepada mahasiswa mahupun pelajar untuk mengikuti latihan industri.
Walaupun tiada elaun, ramai mahasiswa dan pelajar yang memerlukan tempat untuk menjalani latihan industri bagi mencukupkan syarat mereka mendapat sijil, diploma mahupun ijazah. Bayangkanlah, ada yang terpaksa menangguhkan pengajian ke tahun berikutnya gara-gara gagal mendapatkan tempat untuk menjalani latihan industri.
Apa yang berlaku ini adalah akibat ketidakprihatian sesetengah agensi kerajaan dan swasta yang merasakan pengambilan pelajar industri sebagi sesuatu yang membebankan. Ada syarikat yang menutup terus peluang pelajar mengikuti latihan industri. Sekiranya semua agansi kerajaan dan swasta bekerjasama dan memberikan kuota untuk pelajar menjalani latihan industri, maka pasti masalah ini tidak berlaku.
Di syarikat tempat saya bekerja, contohnya, terdapat lebih 200 permohonan pelajar untuk menjalani latihan industri dan kebiasaannya tempat terhadap dan 10-20 orang sahaja yang diterima.
Di samping itu, antara saranan yang perlu dilaksankan oleh pihak universiti, kolej swasta, politeknik dan institusi pendidikan lain ialah mengadakan 'usahasama' atau hubungan dua hala bagi membantu pelajar mereka mendapat tempat untuk menjalani latihan industri. Sedikit sebanyak pelajar berkenaan dapat mempelajari selok-belok alam pekerjaan dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan.
Ada juga sesetengah pelajar yang mendapat pekerjaan secara langsung di tempat mereka menjalani latihan industri satu ketika dahulu. Mungkin isu pengangguran dapat dikurangkan sekiranya semua anggota masyarakat memainkan peranan tidak kira agensi kerajaan mahupun swasta.
Apa yang merisaukan saya ialah apabila kadar pengangguran terlalu tinggi, maka tidak mustahil ia turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah. Semua orang perlukan wang untuk hidup. Jika tiada ruang untuk mendapatkan wang dengan bekerja, maka ruang jenayah akan digunakan untuk mendapatkan wang cepat.
