Saya merujuk kepada tulisan Fathi Aris bertajuk PAS mengancam demokrasi .
Sebagai ahli PAS, saya terpanggil untuk menjawab beberapa hujah Fathi yang tidak saya setujui. Sebelum itu, ingin saya nyatakan bahawa bukanlah semua hujah Fathi tidak saya setujui, kerana ada antara hujahnya yang saya rasakan benar dan perlu direnungi.
Pertamanya Fathi menyebut 'Jika PAS boleh menilai dengan lebih tenang, memorandum itu hanyalah permintaan sekelompok 'masyarakat sivil' yang tiada kuasa apa-apa, jauh lebih lemah daripada parti politik seperti PAS (yang dikategorikan dalam 'masyarakat politik'). Sementara peraturan yang mengawal moral itu masih lagi berjalan sekarang (dan tidak ada tanda-tanda untuk dibuang). Memorandum itu tidak ubah seperti sekumpulan kertas lain yang dikirim kepada kerajaan selama ini, yang bakal dibiarkan berlalu begitu sahaja!'.
Bagi saya, kumpulan yang dimaksudkan itu memanglah secara umumnya tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam kerajaan untuk meminda mana-mana akta. Tetapi adakah suara mereka tidak akan didengari?
Jangan lupa, dua kepada anak orang paling berpengaruh di Malaysia (Nori Abdullah dan Marina Mahathir) ada dalam kelompok tersebut. Mereka ini bukan sahaja mempunyai keistimewaan untuk mendesak 'orang tua' mereka secara terus tanpa perlu menggunakan orang tengah, tetapi mereka juga mendapat sokongan media seperti The Star.
Ingin saya tegaskan, 'Pembohong!' kalau mengatakan mereka tidak ada sebarang pengaruh atau kekuatan mereka lebih lemah daripada PAS. Buktinya, belum apa-apa lagi, cadangan mereka itu telahpun mendapat sokongan beberapa menteri serta jawatankuasa Kaukus Parlimen mengenai hak asasi manusia. Adakah ini masih boleh dikatakan mereka itu 'kelompok masyarakat sivil yang tiada apa-apa kuasa'?
Tolong jangan bawa hujah dengan menyatakan sokongan para menteri dan jawatankuasa kaukus itu bukanlah disebabkan pengaruh sebahagian daripada 50 badan bukan kerajaan (NGO) atau 200 individu tersebut, tetapi sebaliknya hasil kesedaran mereka (para menteri) tentang hak asasi manusia yang perlu diperjuangkan.
Siapakah para menteri itu untuk bercakap tentang hak asasi manusia, layakkah mereka yang selama ini menyokong ISA, membisu melihat kezaliman terhadap rakyat, tiba-tiba menyokong tuntutan yang kononnya atas nama hak asasi. Pernahkah kita mendengar selama ini Sharizat Abdul Jalil menjerit melolong apabila seorang wanita (aktivis reformasi) ditelanjangkan di hadapan pegawai polis lelaki?
Pernahkah kita mendengar Nazri Aziz mengamuk dalam kabinet apabila kumpulan reformasi, JI, KMM ditangkap secara borong tanpa perbicaraan? Bukankah mereka tergolong dalam aktivis hak asasi manusia?
Keduanya, saya juga tidak bersetuju dengan hujah Fathi yang menyebut 'Kenyataan dan ulasan pemimpin Islam, dan juga pengguna Internet, sarat dengan emosi. Wacana-wacana mereka penuh dengan nada serangan politik, reaktif dan memperlekehkan; bukan membahaskan isu secara ilmiah atau berteori. Sebab itu, pokok persoalan dan perspektif luas tidak diperhitungkan sama sekali.
'Kenapa sering kelompok Islam di negara kita (dan di negara-negara lain, juga) menunjukkan kecenderungan dan naluri ini? Yakni, naluri untuk menutup perbincangan atau perbezaan idea (dan nilai hidup) dengan alat-alat kekuasaan seperti polis, undang-undang atau mahkamah.'
Beliau juga membawa satu contoh yang berbunyi, '... kenyataan seorang pemimpin kanan PAS (seorang tokoh besar yang disegani ramai), dalam satu pertemuan tertutup yang saya hadiri menjelang pilihanraya umum Mac 2004, yang selama ini sering percaya bahawa pandangan penulis tertentu (misalnya Astora Jabat atau Farish A Noor) tidak wajar diberikan perhatian atau dijawab'.
Dalam beberapa perkara atau keadaan tertentu, saya agak bersetuju dengan kenyataan Fathi ini, memang terlalu kurang dan lemah (termasuk PAS) dalam hal berhujah, berdiskusi secara ilmiah ini. Tetapi dalam isu ini saya tidak menyokong Fathi. Bagi saya, kalau kita mempunyai padang yang sama rata, memang perbahasan wajar digalakkan, sekiranya tidak, gunakan apa sahaja senjata yang ada pada kita walaupun akan dilebelkan 'bakal pemusnah demokrasi'.
Saya rasa teori ini sudah dipraktikkan oleh pelbagai pihak ketika berhadapan dengan lawan mereka, antaranya termasuklah rakyat Iran ketika mahu menggulingkan Shah Iran, rakyat Indonesia ketika mahu menggulingkan Suharto, Anwar Ibrahim ketika berhadapan dengan Mahathir Mohamad.
Kenapa kita tidak marah rakyat turun ke jalan raya ketika Anwar dizalimi? Kenapa tidak sahaja kita suruh mereka membawa kes kezaliman Anwar itu ke mahkamah untuk diselesaikan melalui undang-undang dalam perlembagaan yang kita dokong selama ini? Jawapannya, perlawanan tidak di padang yang sama rata.
Begitu juga dalam isu ini, sekiranya benar ataupun ada cita-cita kerajaan untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh kumpulan NGO dan individu tersebut, adakah dengan berhujah, pandangan PAS akan diterima. Dan sekiranya benar-benar diajak berhujah, adakah PAS akan diberi ruang secukupnya di media seperti televisyen, radio dan akhbar?
Apakah dalam isu ini kerajaan akan membenarkan para pemimpin PAS berkuliah di masjid dan surau supaya PAS boleh menerangkan mengapa mereka menolak 'Penghapusan Undang-undang Moral terhadap individu' dengan hujah yang ilmiah?.
Pada pandangan saya, apa yang dituntut oleh kumpulan tersebut termasuk Fathi, bukanlah perkara kecil seperti menuntut supaya diberi kelonggaran kepada kakitangan kerajaan tidak memakai baju batik pada hari Sabtu minggu kedua dan ketiga. Atau seperti menuntut supaya pemaju restoran tidak meletakkan meja dan kerusi di kaki lima kedai.
Mereka menuntut, saya ulangi, 'mereka menuntut' satu perkara yang boleh merubah wajah negara kita Malaysia. Menuntut bererti mahu, dan ia berbeza dengan memberi pandangan. Kalaulah perkara tersebut hanya sebagai pandangan pihak tertentu, bagi saya wajar ia didebatkan sekiranya ada pihak tidak bersetuju.
Isu yang sama bagi saya, sepertilah kerajaan Kelantan menuntut untuk melaksanakan hudud, kerana ia tuntutan yang mahu dibuat, maka kerajaan pusat menggunakan kuasanya (tidak sekali-kali mahu berdebat, berdiskusi,berwacana atau berhujah) dengan PAS Kelantan kerana yang dikemukan bukanlah satu teori untuk menyelesaikan masalah penyakit sosial, tetapi satu perkara yang mahu dilaksanakan. (Namun dalam isu tersebut, tidak pula kedengaran Fathi menghentam sikap kerjaan BN yang tidak berdiskusi ilmiah dengan PAS).
Sebab itu saya sangat bersetuju PAS terus menggunakan kuasa politiknya untuk menghentikan usaha tersebut dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras atau sebagainya. Satu hal lagi, saya juga tertanya-tanya, sekiranya benar Fathi adalah aktivis yang menjunjung kemuliaan berhujah, berdiskusi atau sebagainya, mengapa dalam isu ini beliau tidak pula mencadangkan perkara yang dituntut itu dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu untuk melihat reaksi umum.
Mengapa beliau terus mengambil langkah menyokong tuntutan tersebut kepada kerajaan dengan menurunkan tandatangannya.
Dalam hal Astora Jabat (Farish Nor agak berbeza situasinya) seperti disebut oleh Fathi itu, mudah sahaja bagi saya. Syorkan kepada Astora supaya Utusan memberi satu muka surat khas setiap minggu ( Mingguan Malaysia ) kepada PAS untuk menjawab tulisan beliau. Saya yakin Fathi tidak akan mendengar lagi kenyataan pemimpin PAS seperti yang beliau sebutkan dalam tulisannya. Eh! kan PAS sudah ada Harakah dan Harakahdaily ? Maaf, kita mahukan padang yang rata atau setidak-tidaknya terlalu sedikit lubang dan bonggolnya.
Akhirnya, bagi saya, PAS adalah pihak yang tertekan dan ditekan. Mereka dikunci mulut, diikat kakitangan. Justeru itu, tidak adil untuk menghukum PAS dalam situasi begitu. Saya juga tidak setuju dengan kerja meletupkan diri sendiri dilakukan oleh rakyat Palestin ketika berhadapan dengan Zionis, tetapi apakan daya, mereka dibunuh dan dicederakan saban hari ketika masyarakat dunia duduk dalam bilik hawa dingin membincangkan penyelesaian untuk mereka, tanpa mendapat jawapan.
