Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya banyak melihat dan membaca tulisan saudara Fathi Aris Omar . Dan yang terbaru bertajuk PAS mengancam demokrasi. Saya tidak kisah dengan tajuknya kerana ia hanya mengancam bagi orang yang melihat seperti dia, bukan melihat dengan mata hati al-kitab yang diturunkan oleh Allah Taala.

Saya berminat membaca tulisan beliau berkaitan apa sahaja, tetapi apabila menyinggung (kadang-kadang mencubit) isu-isu agama, beliau mula merapu. Kebanyakan tulisan beliau tidak berpijak di bumi nyata iaitu di atas bumi ciptaan Allah Taala dengan taklifan yang sangat jelas dari Allah ke atas seluruh hambaNya, bukan hanya ulama semata, dengan al-kitab yang diturunkannya serta ditambah dengan ajaran Nabi SAW.

Penulis seperti beliau adalah pemuja kepada akal. Jangan silap, akal merupakan alat dan saya setuju itu. Kita tidak meninggalkan akal, tetapi bagaimana sekiranya akal kita tidak 'sebulu' dengan kehendak Allah Taala.

Saya percaya, tiada siapa menerima arahan langsung daripada Tuhannya. Apa yang perlu dilakukan ialah menggunakan akal untuk mencari mesej yang disampaikan oleh Allah, iaitu mesej yang diturunkan ketika kita belum wujud lagi.

Perkara itu disifatkan ghaib, hinggalah kita menemuinya di dalam al-kitab ataupun lewat hadis-hadis Baginda SAW. Kadang-kadang ia ghaib bagi kita, kerana kita tidak mencarinya, tetapi tidak bagi yang mengetahuinya.

Jika bersetuju, maka sudah jelas, akal digunakan untuk mencari, bukan menilai. Kecuali dalam perkara-perkara yang tidak di tekskan oleh al-kitab dan hadis. Apa perkara itu? Sudah pasti kita tidak akan menemuinya di dalam mana-mana buku yang ditulis oleh bukan Muslim yang bukan ulama.

Saya tidak perlu menjawab semua tulisan Fathi dengan ulasan ilmiah, kerana nilai ilmiah dan mizannya tidak sama antara anda dan kami. Kami menggunakan mizan yang kami terima daripada al-Quran dan sunnah ... anda wallahu a'lam.

Jika kita membangkit isu pentafsiran, itu perkara lain yang boleh dibincangkan, tetapi sungguh banyak perkara yang disepakati ulama dalam pentafsiran dan penghuraiannya, tetapi tetap menjadi mangsa akal.

Jika kita lari daripada cahaya petunjuk maka sesatlah kita walaupun akal mengiyakannya. Contoh klasik yang boleh digunakan ialah kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah, yang maksudnya: 'Jika agama itu menggunakan akal (sebagai rujukan) maka sudah tentu menyapu khuf (kasut kulit) dilakukan di bahagian bawah, tetapi sunnah adalah di bahagian atasnya.'

Maksudnya ialah Saidina Ali menegaskan bahawa akal bukan rujukan kepada urusan agama, sebaliknya empat dasar yang disepakati itu al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Jika kita menggunakan akal sahaja, maka sudah pasti kita akan menyapu khuf di bahagian bawah kaki, kerana bahagian itu yang kotor dan dipijak-pijak. Tetapi apa pula petunjuk Nabi? Jawapannya adalah sebaliknya. Jika ini pun kita mahu menyanggah, maka kita sesat agaknya.

Maka semua urusan agama perlu diselidiki terlebih dahulu, apakah ia ada petunjuk daripada keduanya. Jika ada, apa petunjuk itu suatu yang bersifat putus atau masih samar-samar. Jika putus, apakah ia wajib atau sekadar digalakkan.

Fahamilah, urusan amar ma'ruf nahi mungkar adalah antara urusan agama yang paling besar. Ia merupakan asas kepada jatuh bangunnya kehormatan agama Islam dan kukuh lemahnya umat Islam. Ia juga telah diikatkan oleh Islam dengan beberapa undang-undang yang dapat mengawal daripada menularnya kemungkaran di tengah masyarakat.

Kembalilah kepada al-kitab dan sunnah dengan maksud sebenarnya, bukan terus hanyut dengan buku-buku yang meragukan. Cuba gunakan petunjuk al-Quran dan Sunnah Nabi, bukan akal yang menggunakan akal orang lain sebagai rujukan.

ADS