Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Kenaikan harga petrol, diesel: Asingkan isu penyeludupan

Sebab utama kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga diesel dan petrol , masing-masing sebanyak 20 dan 10 sen adalah untuk mengurangkan kegiatan penyeludupan bahan bakar tersebut.

Ini berdasarkan kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri sepertimana dilaporkan oleh semua media utama hari ini. Berdasarkan laporan media tersebut, adalah jelas bahawa kerajaan menggunakan alasan membanteras penyeludupan sebagai asas utama kenaikan ini.

Soalan paling pokok di sini ialah kenapa rakyat sebagai pengguna, perlu menerima beban dari kelemahan penguatkuasaan ke atas penyeludupan? Mengapa isu kegagalan mencegah penyeludupan dicampurkan dengan isu kenaikan harga bahan bakar?

Ia sebenarnya dua isu yang sepatutnya berbeza. Lagipun, kenaikan tersebut dikatakan masih meletakkan harga bahan bakar di negara ini masih terendah berbanding negara jiran. Dan ini tentunya tidak akan mencegah penyeludupan daripada terus berlaku.

Isu penyeludupan mesti diatasi dengan penguatkuasaan, bukannya dengan kenaikan harga minyak.

Isu kedua ialah apakah faedah yang diperolehi negara kita sebagai pengeluar minyak hasil pertambahan pendapatan daripada kenaikan harga minyak dunia?

Mengapa jumlah kenaikan pendapatan yang diperolehi ekoran kenaikan harga minyak kita yang diuruskan oleh Petronas, tidak dapat digunakan untuk menampung kenaikan subsidi supaya tahap kestabilan ekonomi negara dapat dikekalkan?

Perlu diingat bahawa salah satu sebab Petronas ditubuhkan pada tahun 70-an ialah untuk menangani krisis kenaikan harga minyak dunia di negara ini. Lantaran itu, Petronas seharusnya tidak menjadi badan tunggal menikmati keuntungan besar daripada kenaikan harga minyak dunia, malah keuntungan itu perlu digunakan sebagai pengimbal untuk menstabilkan harga bahan bakar di pasaran tempatan.

Dalam keghairahan kerajaan membenarkan kenaikan ini sebagai cara melepaskan geram ke atas penyanggak diesel, kerajaan juga harus mempertimbangkan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi negara, kerana:

1) Terdapat petani dan nelayan kecil yang terpaksa menampung kos tambahan akibat kenaikan harga itu;

2) Kenaikan ini tidak syak lagi akan memaksa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain, yang bermakna kenaikan kos sara hidup;

3) Ia boleh melemahkan lagi dayasaing negara di peringkat serantau; dan

4) Akhirnya, kerajaan terpaksa menaikkan gaji dan menampung kos pentadbiran yang meningkat akibat kenaikan kos sara hidup tadi.

Saya dengan ini mencadangkan supaya kedudukan hasil minyak negara disesuaikan dengan keperluan negara untuk mewujudkan ekonomi yang lebih stabil dan selesa, bagi faedah seluruh rakyat.

ADS