Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Sama ada benar atau tidak Anwar Ibrahim telah menyimpang dari pendiriannya terhadap Dr Mahathir Mohamad dan agenda reformasinya seperti yang didakwa oleh MGG Pillai dan Lee Ban Chen dalam tulisan mereka baru-baru ini, adalah sesuatu yang boleh dipertikaikan.

Dalam rancangan Hardtalk BBC, Anwar mengatakan beliau boleh memaafkan Mahathir tetapi tidak dapat melupakan apa yang telah Mahathir lakukan terhadapnya. Bukankah ini yang diucapkannya dalam siri ceramah selepas dibebaskan dari penjara Sungai Buluh tahun lalu? Jadi, ia bukannya satu isu yang baru yang harus dipolimikkan.

Seyugia diingatkan bahawa banyak manakah seseorang itu boleh katakan dalam satu wawancara pendek selama setengah jam? Lainlah jika ia satu debat atau ceramah politik di mana seseorang itu boleh menjelaskan pendiriannya dari A hingga ke Z.

Dalam siri wawancara sebegini, pewawancara cuma mahu menduga pendirian tetamunya. Jadi, jika wawancara hendak dijadikan kayu pengukur bagi menentukan pendirian Anwar terhadap isu-isu yang dibangkitkan, maka saya rasa ini sesuatu yang keterlaluan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa konflik Anwar-Mahathir tidak akan tamat selagi rasa dendam kesumat Anwar terhadap Mahathir masih menebal, memandangkan apa yang dilakukan Mahathir terhadapnya yang sangat jijik dan menghinakan itu.

Mahathir boleh mengugut Anwar dengan tindakan undang-undang terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya dalam program Hardtalk itu. Sebaliknya, kita juga harus ingat, Mahathir ada banyak peluang untuk berbuat demikian semasa masih menjadi perdana menteri lagi, apabila Anwar membuat laporan polis berhubung beberapa tingkahlaku Mahathir berkaitan rasuah, salahguna kuasa dan kronisme.

Mahathir menolak peluang itu, malah mempersoalkan tindakan mahkamah yang mensapinanya untuk memberi keterangan dalam kes rasuah dan sodomi Anwar dulu. Sikap Mahathir yang angkuh itu, memberi kesempatan kepadanya untuk mempengaruhi polis, mahkamah, badan pencegah rasuah dan media massa supaya tunduk kepada kehendaknya.

Tetapi, apabila perkara ini dibangkit semula, nampaknya Mahathir begitu kesepian, kecuali bekas setiausaha akhbarnya, Mathias Chang dan Zainuddin Maidin yang cuba membela Mahathir, sedangkan para menteri yang begitu setia kepadanya, Umno, yang tunduk kepada kehendaknya pada satu masa dulu, telah menjauhkan diri. Mengapa?

Soal sama ada Anwar terlalu 'over-confident' semasa wawancara itu, seperti yang dibangkitkan oleh Pillai, tidak timbul langsung, memandang kepada situasi wawancara itu yang dibelenggui batasan masa. Kata Pillai lagi, tidak siapa di Malaysia bercakap tentang kehadiran Anwar dalam rancangan BBC itu.

Ini adalah benar, kerana siaran ini hanya boleh disaksikan melalui saluran 93 BBC di Astro dan maklumat ini tidak disiarkan RTM atau media massa kita. Apa yang dimuatkan oleh media massa kita hanya komen-komen anti-Anwar oleh Zainuddin dan Mathias Chang.

Soal isu-isu lama yang diulangi Anwar, sebenarnya Anwar hanya memberi respon kepada soalan-soalan yang dibangkitkan oleh pewawancara dan saya rasa bukanlah niat Anwar untuk membangkitkan isu-isu lama.

Mathias Chang , bekas setiausaha akhbar Mahathir, pula mahu berdebat dengan Anwar dengan syarat Anwar memberi bukti terhadap tuduhan bahawa:

1) Dr Mahathir campurtangan dalam pentadbiran sekarang dan menjadikan kabinet sebagai boneka.

2) Dalam pilihanraya umum lalu, kerajaan BN menang melalui taktik-taktik kotor.

3) Dr Mahathir memiliki 70 peratus saham TV3.

4) Dr Mahathir terlibat dalam kes-kes rasuah.

Hendak debat apa lagi, walhal segala aduan Anwar kepada polis, lengkap dengan bukti-bukti sahih. Kenapa perlu letak syarat untuk berdebat? Bukankah ini adalah satu helah untuk mengalih pandangan dari isu-isu sebenarnya?

Jika Anwar besetuju dengan-syarat itu, apa jaminan Mathias Chang bahawa debat ini boleh disiarkan dalam RTM1, RTM2, TV3, NTV7 dan Channel8 serta diberi laporan muka depan dalam akhbar Utusan Malaysia , Berita Harian , The Star dan the New Straits Times ?

Sebaliknya, sanggupkah Pak Lah mengarah polis atau peguam negara meneruskan siasatan terhadap laporan polis Anwar? Jika tuduhan itu terbukti dan ada kebenarannya, sanggupkah Pak Lah membawa Mahathir ke mahkamah? Inilah pertanyaan sejuta ringgit yang rakyat Malaysia ingin tahu jawapannya.

Cuba kita bandingkan sikap pewawancara Hardtalk dengan pewawancara RTM1 seperti Johan Jaafar dalam rancangan 'Debat Perdana' atau 'Bersama Menteri'. Mereka cuma ikut skrip yang telah disediakan, memuji menteri berkenaan, memintas komen yang berbau anti-kerajaan serta tidak memberi peluang kepada tetamu dari pihak lawan menyatakan sesuatu secara jelas.

Sikap pewawancara Hardtalk Steven Sackur yang begitu agresif dengan pertanyaan yang mengelirukan, memperlihatkan 'profesionalisme kewartanannya', berbanding pewawancara RTM yang hanya tahu membodek kerajaan.

Malah, kita sudah tahu pendirian tetamunya, sebelum debat perdana itu bermula lagi. Ada ketikanya soalan dalam Hardtalk meletakkan tetamunya dalam situasi tidak senang dan membingungkan. Sebab itu ia dikatakan Hardtalk...


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS