Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tulisan Datuk Wong Chun Wai, Timbalan Ketua Pengarang The Star , bertajuk Pile on pressure against the corrupt , mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa menjadi perdana menteri, tidak melakukan perubahan besar dalam usaha membenteras rasuah di negara ini. Wong mengulas bahawa Dr Mahathir tidak mengambil peluang semasa beliau berkuasa, menjalankan kempen antirasuah untuk menghapuskan rasuah yang melemahkan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hisahmuddin Hussein tiba-tiba menjadi `histeria' dan mendakwa sesiapa yang mengkritik Dr Mahathir sebagai ' pengecut' . Menurutnya, Dr Mahathir seharusnya dikritik semasa beliau berkuasa bukan selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri.

Reaksi Hishamuddin yang begitu marah dan mengeluarkan perkataan `pengecut' kepada sesiapa yang mengkritik Dr Mahathir, menimbulkan tandatanya. Hishamuddin memang sejak akhir-akhir ini kerap marah marah jika ada yang kritik kepimpinan, tidak kira yang baru atau yang lama.

Perkataan `pengecut, pengkhianat, penderhaka dan pembelot' sudah jadi mainan mulutnya. Saya, agak terkejut dengan sikap dan tindakan Hishamuddin ini. Saya juga kurang pasti Hishamuddin yang mendapat pendidikan undang-undang di luar negara, benar-benar faham apa makna dan pengertian perkataan yang selalu beliau sebutkan itu.

Sebagai seorang yang berpendidikan undang-undang, sudah tentu Hishamuddin dapat markah tinggi dalam subjek sejarah kerana ianya ada kaitan dengan sebutan Hishamuddin Hussein Onn.

Kemudian Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda, pula dijangkiti `histeria' Hishamuddin dan terus membelasah penulis yang kononya `memburukkan bekas pemimpin'. Khairy, menantu Perdana Menteri lulusan Oxford, juga ikut bosnya dan terus setuju dengan perkataan `pengecut' kepada sesiapa yang kritik Dr Mahathir.

Yang anehnya kedua-dua `anak bangsawan Umno' ini tidak begitu berani hendak menyebut nama Wong Chun Wai secara jelas. Marah-marah pun, takut juga nampaknya. Tetapi oleh kerana kedua-duanya orang kuat Pemuda Umno, maka kena cakap jugalah.

Dengan memberikan `benefit of the doubt' kepada Wong, saya agak hairan dengan tempelakan kedua pemimpin Pemuda ini. Pertama, isunya bukan ada siapa yang tuduh Dr Mahathir tidak melakukan sesuatu untuk memerangi rasuah semasa pemerintahannya. Tulisan Wong hanya membuat analisa dan penilaian terhadap kepimpinan Dr Mahathir yang dilihat tidak begitu berjaya dan mengambil langkah yang lebih dengan kedudukan, kekuatan dan imej kepimpinan beliau ketika itu. Itu saja.

Dan pendapat ini bukan pendapat Wong seorang sahaja. Ramai lagi di dalam dan luar Umno pun beranggapan begitu. Kalau `tidak ada bukti' atau `sukar untuk dibuktikan' sebagai dalil Dr Mahathir, bukankah sebagai pemimpin nombor satu Umno dan Barisan Nasional, beliau boleh bertindak mengikut penilaian politik. Kenapa masih ramai yang `ada bukti' tetapi tidak beliau ambil tindakan, malah ada ketikanya dilihat sebagai mendapat `perlindungan' beliau .

Ini bukan teori atau analisa tetapi `cerita benar'. Memberikan dalil-dalil bahawa ada Yang Berhormat, exco dan pemimpin kerajaan yang kena tuduh dan disabitkan, bukan satu sebab yang boleh dijadikan `kayu pengukur' keseriusan Dr Mahathir menangani masalah rasuah. Ramai dan banyak lagi. Khairy sendiripun setuju dengan kenyataan ini. Hishmauddin mungkin tidak.

Janganlah 'lencongkan' isu yang sebenar. Ini bukan soal Wong tidak kritik Dr Mahathir dahulu, sebagai alasan untuk memanggil beliau`pengecut'. Isunya adakah Dr Mahathir, semasa pemerintahannya, benar-benar secara serius menangani isu isu yang melibatkan rasuah dan penyelewengan.

Memang benar, Wong mungkin takut dan `pengecut' untuk mengkritik secara terbuka dalam tulisannya, akan kepimpinan Dr Mahathir ketika itu. Tapi soalnya, hujah dan intipati tulisannya yang perlu diambil kira.

Selain itu, ianya sudah menjadi lumrah wartawan yang mahu dan sudah bergelar Datuk. Soalan ini agak sukar untuk dijawab. Ini sudah jadi budaya dalam Malaysia Boleh dan Umno. Khairy tentu faham dan lebih arif tentang sinario ini dahulu, kini dan selamanya.

ADS