Perang mulut antara mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Rafidah Aziz mengenai isu pengurniaan AP tiba-tiba menjadi lumayan dramatik . Saya yang menonton drama kisah benar itu menjadi terkedu tidak tahu sama ada hendak nak menangis atau ketawa dengan sensasi yang terselongkar, episod demi episod.
Ironisnya, Dr Mahathir maupun Rafidah, kedua-duanya sedang bercakap benar dalam banyak perkara yang didebatkan itu! Lebih ironis lagi kerana kedua-duanya sedang mengalami luka dan calar-balar akibat perang mulut ini. Kredibiliti Dr Mahathir terjelepuk kerana aksi 'cakap tak serupa bikin'.
Rafidah menyebut, nama pemegang AP memang tidak pernah 'dipecah-tembelangkan' dulu, kini (dan selamanya?) baik semasa era Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan, hatta semasa beliau menjadi perdana menteri dulu. Sudahlah begitu, Dr Mahathir turut terpalit apabila Rafidah mengheret nama anaknya sebagai salah seorang pemegang AP untuk membawa masuk kereta Porche-nya!
Turut sama terjelepuk akibat dakwaan dan dakwaan-balas tersebut ialah maruah kerajaan, dasar Barisan Nasional dan nama perdana menteri sendiri. Dan dalam pada Dr Mahathir berusaha mempertahankan nama baiknya, sekonyong-konyong tersembullah pula satu rahsia misteri dan comot Umno rupa-rupanya AP pernah menjadi habuan untuk difaraidkan di kalangan kakitangan ibupejabat Umno!
Kata Dr Mahathir yang empunya cerita, permit-permit tersebut kemudian dijual (Ali Baba?) kepada orang lain bagi memperoleh pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan. Terlopong saya membacanya!
Bila perang mulut ini akan tamat sukar dijangkakan. Biarkan saja, dan berikan mereka peluang untuk terus berpencak mendedahkan keburukan satu sama lain. Pada saya yang kalah jadi abu, dan yang menang jadi arang.
Saya cuma berminat untuk mengulas dabikan dada Dr Mahathir bahawa semasa era beliau sebagai perdana menteri, beliau pernah mendedahkan senarai nama syarikat yang mendapat projek penswastaan kerajaan. Kononnya ia untuk menangkis tuduhan wujudnya kronisme dalam kerajaan. Juga untuk membuktikan bahawa individu-individu yang menuduh berlakunya amalan kronisme itu sendiri mendapat manfaat besar daripada amalan sedemikian.
Umum tahu bahawa sasaran beliau ialah Ahmad Zahid Hamidi, ketua Pemuda ketika itu seorang yang beliau dakwa menjadi kroni besar Anwar Ibrahim. Zahidlah yang membangkitkan isu kronisme semasa Persidangan Pemuda Umno waktu itu.
Apabila nama Zahid tersenarai sebagai Pengarah Eksekutif Pantai Dalam Development Sdn Bhd. (PDDSB), salah sebuah syarikat yang dikurniakan projek penswastaan kerajaan, Dr Mahathir menyerang Zahid habis-habisan. Zahid pun jatuh terjelepuk kerana dikeroyok, termasuk oleh semua media Umno yang menyamar sebagai media arus perdana. Tiada siapa peduli kisah benar di sebalik dakwaan Dr Mahathir itu.
Sebenarnya kisah pendedahan yang dibangga-banggakan dan diulang-ulangkan oleh Dr Mahathir itu hanya separuh benar. Menceritakan sesuatu yang separuh benar samalah dengan tidak bercakap benar.
Projek penswastaan yang menjadi isu ketika itu sebenarnya dianugerah kepada sebuah yayasan milik kroni Umno ketika itu Yayasan Gerakbakti Kebangsaan (YGK). Orang kuat YGK ketika itu ialah Mohd Najib Razak Timbalan Perdana Menteri sekarang. Zahid adalah Setiausaha YGK yang bekerja untuk bosnya, Najib.
Dia dan beberapa pengarah lain dalam syarikat PDDSB hanyalah wakil YGK dalam lembaga pengarah. Secara peribadi Zahid tidak ada satu sen pun saham dalam syarikat itu. Projek itu pun telah gagal, dan Zahid tidak rugi satu sen pun sebab projek itu bukan dia punya.
Dalam usaha Dr Mahathir untuk memburukkan Zahid, mantan Perdana Menteri itu terlupa bahawa ia secara tidak langsung telah menyembulkan satu lagi bisul Umno bahawa para penerima warkah penswastaan itu semuanya adalah kroni-kroni Umno belaka.
Dan kini saya juga pasti kalau Rafidah bertindak menyenaraikan nama-nama penerima AP, sudah tentu ia akan terdiri daripada kroni-kroni Umno juga.
