Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya amat tertarik dengan negeri Sarawak Bumi Kenyalang negeri yang rakyatnya pelbagai kaum dan etnik serta segala lapisan agama yang telah mengambil langkah ke hadapan untuk mengawal masalah sosial di kalangan masyarakatnya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan mengurangkan hari jualan loteri dibuka dari tiga hari sekarang kepada dua hari saja dan dalam tempoh jangka panjang, hanya beroperasi sehari sahaja dalam seminggu.

Di Negeri Sembilan, contohnya pada setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad di pekan Senawang, dua buah kedai judi berlesen menjadi tumpuan masyarakat setempat, terutamanya orang Melayu beragama Islam, tanpa sebarang tindakan pencegahan oleh pihak berkuasa agama.

Malah tiga hari yang disebutkan tadi telah menjadikan pekan lama Senawang penuh sesak dengan kenderaan serta jualan di kaki lima, seolah-olah ianya pesta mingguan sempena hari judi.

Premis judi berlesen di negeri ini sentiasa penuh dengan mereka yang sanggup beratur panjang, semata-mata mengimpikan sejumlah wang mudah dengan pertaruhan yang dibuat.

Langkah MTUC Sarawak itu sebagai menyokong gesaan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan yang turut meminta supaya kekerapan cabutan loteri dikurangkan kerana ia menjejaskan masyarakat dan golongan berpendapatan rendah.

Menurut MTUC, pekerja paling ramai terbabit dalam pertaruhan loteri kerana merasakan ia dapat menambah pendapatan, tetapi hakikatnya ia sebaliknya membebankan mereka setiap bulan.

Malah dimaklumkan ada kakitangan kerajaan yang hanya berbaki RM100 sebulan kerana mempertaruhkan sebahagian besar wang gajinya untuk judi loteri yang akhirnya memberi kesan buruk kepada keluarga dan rumah tangga.

Oleh yang demikian adalah disarankan agar negeri-negeri lain di Malaysia ini, lebih-lebih lagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam, supaya mengikuti jejak Sarawak ini bagi merawat penyakit sosial yang melanda masyarakat amnya dan umat Islam khususnya.

ADS