Tidak ramai yang tahu, seorang Tan Sri, menerusi adik tirinya, adalah 'pemegang kepentingan' dalam sebuah syarikat 'Approved Permit' (Syarikat 'X' Sdn Bhd) yang mengimpot kereta jenama Honda dan lain-lain lagi di bawah DRB-Hicom Bhd (secara tidak langsung).
Dengan ini, terjawablah mengapa Syarikat X ini begitu istimewa di mata DRB-Hicom dan menjadikan ia syarikat utama pembekal AP. Kalau tidak, masakan DRB-Hicom sebagai 'government-linked company' terpaksa membeli AP dari pengimport seperti Syarikat X?
Pernah dikatakan DRB tidak cukup 70 peratus bumiputera, jadi tidak dapat AP. Tetapi DRB ada anak syarikat yang menerima AP iaitu United Straits Fuso (USF) Sdn Bhd. Mengapa tidak digunakan AP dari anak syarikatnya?
Dengan penglibatan Tan Sri ini secara tidak langsung dalam Syarikat X, DRB-Hicom (GLC berkepentingan bumiputra) terpaksa membeli AP walaupun pada dasarnya DRB-Hicom berkemampuan untuk menerima AP (tanpa kos) seperti yang didapat oleh anak syarikat miliknya USF.
Sekali lagi persoalan penting � mengapa DRB-Hicom perlu membeli lagi AP sedangkan DRB-Hicom boleh menerima AP menerusi anak syarikatnya USF?
Dari tahun 2003 � 2005 sahaja, lebih kurang 24,000 AP telah dibeli dari Syarikat X ini oleh syarikat-syarikat yang berkait dengan DRB-Hicom, iaitu: Honda Malaysia Sdn Bhd (15,426 AP) dan Hicomobil (8,615 AP)
Jumlah ini tidak termasuk AP yang dibeli atau akan dibeli untuk jenama Suzuki (1,200) dan Audi (896).
Penglibatan Tan Sri in dalam Syarikat X difahamkan diatur oleh seseorang yang juga pengarah DRB-Hicom yang berperanan sebagai pengcatur di sebalik tabir. Difahamkan penglibatan Tan Sri ini secara tidak langsung ini sebenarnya untuk mengelak kesulitan jika timbul bantahan dari mana-mana blok dalam DRB-Hicom.
Umum mengetahui bahawa terdapat beberapa blok di dalam pengurusan dan lembaga pengarah DRB sehinggalah kepada penyingkiran kepentingan Almarhum Tan Sri Yahya Ahmad dan keluarga.
Untuk rekod, DRB-Hicom menerima AP sebanyak 3,000 pada tahun 2005. AP tersebut digunapakai untuk pengimportan model kenderaan yang dijual oleh USF iaitu jenama Mitsubishi, Citroen dan Mahindra.
Di sebalik kemegahan bangunan DRB-Hicom diGlenmarie, ramai tidak mengetahui bahawa tersembunyi renungan kesedihan Almarhum Tan Sri Yahya bila melihat bagaimana DRB-Hicom diubah dari sebuah syarikat yang bertujuan untuk meningkatkan martabat Melayu kepada sebuah syarikat yang hanya meningkatkan kepentingan peribadi.
Sebagai pemegang saham DRB-Hicom, perkara sedemikian adalah faktor penyumbang kepada kebocoran keuntungan DRB-Hicom dan yang paling menyedihkan, hanya segelintir individu (termasuk Tan Sri itu) mendapat faedah menerusi proses ini, walhal DRB-Hicom terpaksa berbelanja besar untuk ini. Wajarkah kerajaan, menerusi Khazanah Nasional, berdiam diri?
DRB-Hicom sebagai syarikat berkepentingan Melayu yang mempunyai kilang pemasang kenderaan sendiri tidak wajar menyalahgunakan AP dengan mengabaikan tanggungjawabnya kepada orang Melayu.
Sebagai seorang ahli Umno, saya rasa perkara pokok bagi DRB-Hicom ialah untuk melengkapkan agenda kerajaan untuk meng'kaya'kan ramai Melayu (dalam bilangan yang ramai) dan bukannya meng'kaya'kan segelintir sahaja. Yang kita lihat, DRB-Hicom hanya mengkayakan pembekal AP dari Syarikat X itu.
Dalam isu ini, bayangkan jumlah kenderaan (terutama model Chevrolet, Suzuki) yang dapat dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang jika DRB-Hicom tidak dipaksa menyalahgunakan AP tersebut untuk kepentingan peribadi.
Syarikat Hicomobil yang mengimport kereta Chevrolet sehingga kini masih menggunakan AP untuk terus mengimport kenderaan CBU. Mengapa tidak dipasang sahaja jika kilang di Pekan masih dibawah kapasiti?
Diharapkkan Timbalan Perdan Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dapat melakukan sesuatu demi kepentingan orang Melayu terutamanya di Pekan, Pahang.
Dan diharap Tan Sri itu di DRB-Hicom juga dapat memberikan penjelasan mengapa DRB-Hicom mengunakan Syarikat X dan tidak USF Sdn Bhd (iaitu anak syarikatnya) untuk mendapatkan AP bagi pengimportan kereta pasangsiap untuk anak syarikatnya.