Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu Kerajaan Negeri Kelantan menjemput artis yang bernama Mawi ke satu konsert di kota Bharu, telah menarik minat pengokong PAS, malah orang luar untuk membincang hal ini. Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Kerana sebelum ini pun, Kerajaan Kelantan agak ketat untuk membenarkan konsert diadakan di Kelantan.

Saya bukanlah mahu mengulas tentang baik atau tidak baik menjemput artis ke Kelantan, atau apa yang dibuat itu haram atau halal. Telah banyak emel dari pembaca lain yang membincangkan hal ini, yang saya sifatkan sebagai 'kawasan kelabu' bukan sahaja untuk PAS, malah untuk umat Islam amnya.

Dunia hiburan secara keseluruhannya bukan sahaja isu Mawi datang ke Kelantan. Sedangkan kawasan ini merupakan kawasan yang 'popular', yang digemari ramai. Maksudnya, majoriti rakyat Malaysia mengemarinya. Bila disebut rakyat Malaysia, ia bukan sahaja Melayu/Islam, malah yang lain lagi. Dunia hiburan ini termasuklah televisyen, Internet, wayang, konsert, persembahan kebudayaan dan lain lain.

Saya melihat ini satu ujian bagi PAS dan ahli-ahlinya, sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memerintah Malaysia (dalam hal ini sahaja, belum termasuk ekonomi, politik dan demokrasi), kerana mahu tak mahu, perkara ini harus dirungkai oleh PAS supaya rakyat majoriti jelas mengenai pendirian parti itu dalam isu berkaitan dunia hiburan.

Ia nampak remeh tetapi saya kira kesannya agak besar. PAS sudah tentu ada cita-cita untuk memerintah Malaysia, bukan sekadar Kelantan, Terengganu atau Kedah sahaja. Oleh itu, saya melihat reaksi dan tindak-tanduk PAS dan ahli-ahlinya sangat penting dalam isu ini, kerana ia mencerminkan sikap PAS apabila memerintah nanti.

Bagi PAS pula, harus mengambil kesempatan ini untuk mengkaji reaksi ahli-ahli PAS dan rakyat majoriti dalam isu menjemput artis ke Kelantan. Setakat ini, pada penilaian saya, berdasarkan beberapa surat pembaca di Harakahdaily , banyak yang terkeliru dengan pendekatan ini. Saya juga kecewa kerana meraka hanya melihat isu ini dalam skop yang kecil iaitu Mawi sahaja.

Mereka lebih suka menyatakan ini boleh atau tidak boleh, berdasarkan kelakuan Mawi di Akademi Fantasia. Dari situ mereka membuat kesimpulan konsert di Kota Bahru itu boleh atau tidak. Jadi, apakah PAS sudah bersedia untuk memerintah negara Malaysia ini?

Dalam hal berkaitan Mawi datang ke Kelantan pun sudah keliru dan kecoh. Ini belum hal-hal lain yang lebih besar. Nampaknya banyak lagi yang harus di buat oleh pemimpin PAS.

ADS