Gejala keruntuhan moral di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Hanya perkahwinanlah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah keruntuhan moral ini.
Akan tetapi muda-mudi beranggapan perkahwinan adalah satu perkara yang menyusahkan. Kos mendirikan rumahtangga kini amat tinggi. Hantaran sahaja tidak kurang RM3,000. Itu belum dicampur belanja pertunangan, kenduri kendaranya, persiapan pelamin dan kompangnya serta banyak lagi.
Adakah ini ajaran Islam atau hanya adat orang Melayu? Barangkali, jika dibuat pinjaman untuk menguruskan kenduri kahwin, mungkin apabila sudah beranak-pinak, pinjaman bank masih belum habis dijelaskan.
Adakah ajaran Islam yang menyusahkan pasangan untuk berkahwin atau hanya adat Melayu yang meyulitkan perkahwinan.
Mengapa orang Melayu malu jika anak mereka tidak mengadakan kenduri perkahwinan secara besar-besaran tetapi tidak malu pada Allah apabila anak mereka keluar dengan pasangan bukan muhrim?
Sedangkan dalam Islam dianjurkan, apabila muda-mudi Islam sudah sampai tempoh untuk berkahwin, maka hendaklah disegerakan dan dipermudahkan. Malah Nabi Muhammad SAW menyuruh para sahabat mengadakan kenduri kahwin sekadar yang mampu, walaupun hanya dengan memberi minum air dan makan tamar.
Kenduri kahwin diadakan dengan tujuan untuk memberitahu masyarakat bahawa pasangan tersebut telahpun berkahwin seterusnya untuk mengelakkan fitnah. Kita tidak menentang mereka yang mampu mengadakan kenduri kahwin secara besar-besaran jika niat mereka untuk memberi makan kepada semua tetamu yang hadir.
Sudah sampai masanya masyarakat diajar untuk bersederhana dan memudahkan urusan perkahwinan bagi membanteras keruntuhan moral di kalangan orang Islam. Tidak perlu berasa malu jika kenduri kahwin hanya dibuat kenduri 'sejambar nasi' atau kenduri doa selamat.
Yang lebih penting ialah muda-mudi kita membuat persiapan akidah secukupnya untuk menjadi suami yang soleh, isteri yang solehah dan mendidik anak menjadi anak yang bermoral. Biarlah kenduri kahwin tidak hebat asalkan perjalanan hidup sebagai suami, isteri dan anak-anak bahagia.
