Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerugian lebih RM600 juta dalam masa tidak sampai satu tahun yang dialami Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi. Walau apapun, adalah diharapkan pengurusan baru MAS dapat memulihkan kewangan syarikat itu bagi menjamin kesinambungan kerjaya kakitangannya serta memulihkan imej syarikat penerbangan Malaysia yang diterajui anak tempatan sendiri.

Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan konsep prinsip Islam Hadhari, maka sewajarnya kerajaan menyediakan garis panduan bagaimana sebuah negara Islam harus mengendalikan syarikat penerbangannya bagi memenuhi citarasa penumpang berlandaskan iman dan taqwa.

Mungkin sebelum ini kita berfikiran sebagai sebuah syarikat penerbangan yang beroperasi di peringkat antarabangsa, maka hidangan minuman keras dapat menarik minat lebih ramai warga asing menaiki MAS.

Lebih ramai warga asing dan pelancong asing menaiki MAS, maka MAS akan mengaut keuntungan yang lebih. Akan tetapi, penyata untung-rugi MAS baru-baru ini memberi mesej, iaitu dengan menyediakan hidangan arak pun, tidak dapat menjamin keuntungan.

Ianya tidak semestinya menjadi sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai pramugari yang berpakaian ketat, seksi dan tidak menutup aurat, akan menjamin keuntungan syarikat.

Sebaliknya, banyak faktor lain yang menentukan keuntungan sesebuah syarikat penerbangan. Antara sebab pelanggan mengulangi syarikat penerbangan yang sama ialah faktor keluasan kabin, keselesaan tempat duduk, makanan dan minuman serta keramahan kakitangan kabinnya. Di peringkat pengurusan pula, pemilihan sub-kontraktor, vendor, pesawat dan sistem perkomputeran yang sesuai, akan menentukan untung-rugi sesebuah syarikat.

Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) haruslah menggalakkan negara Islam menyediakan garispanduan glokal agar ia dapat memberi keselesaan kepada penumpang pelbagai bangsa, agama yang menghormati agama serta budaya di kalangan negara Islam.

Adalah diharapkan pengurusan baru MAS memberi kelonggaran kepada pramugari menutup aurat serta memakai pakaian yang longgar. Begitu juga dalam masalah hidangan minuman keras. Diharapkan MAS tidak lagi menghidangnya dalam pesawatnya.

Malah, di sesetengah negara barat, syarikat penerbangannya tidak menghidangkan minuman keras dalam penerbangan domestik. Malahan kakitangannya mengsyorkan arak tidak disediakan kerana boleh menimbulkan masalah dalam penerbangan apabila ada penumpang yang mabuk.

Setakat ini, syarikat penerbangan negara Islam yang menggalakkan pramugarinya menutup aurat dan tidak menghidangkan arak ialah Saudi Arabia Airlines dan Royal Brunei Airlines.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS