Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada orang berpendapat budaya kuning yang menular di kalangan muda mudi sekarang ini, kalau pun tidak digalakkan, sekurang-kurangnya Umno atau BN dengan rela membiarkan gejala ini membiak untuk menjamin partinya mendapat undi dalam pilihanraya.

Strateginya mudah saja, kalau orang ramai dah minat dengan konsert dan hiburan sudah tentu bila masa mereka mengundi, mereka tidak akan mengundi PAS yang sangat keras menentang konsert liar dan hiburan yang mengasyikan.

Oleh itu adalah rugi kepada parti Umno jika terusan membenteras hiburan atau mengharamkan konsert, kerana ia banyak membantunya meraih undi besar dalam pilihanraya.

Oleh itu demi kebaikan wajarlah PAS membubarkan partinya, dengan itu tiada lagi kegusaran kepada kerajaan Umno untuk membenteras budaya kuning dan negatif dari menyerap masuk ke dalam masyarakat kita.

Sebaliknya tenaga yang dimiliki PAS yang selama ini digunakan untuk berpolitik bolehlah digembeling kepada usaha-usaha dakwah, mendidik masyarakat kepada agama dan akhlak yang baik.

Tujuan utama Rasul diturunkan pun adalah untuk mengajak dan membetulkan akidah manusia dan membentuk akhlak yang baik maka PAS dan badan-badan dakwah Islam yang lain haruslah tidak lari dari tugas rasul ini.

Pendekatan yang diambil mestilah penuh hikmah. Kalau menggunakan pendekatan berpolitik kepartian, dia akan lebih kepada pendekatan berkonfrantasi yang tentunya tidak berhikmah dan berhemah.

Kalau pun akhirnya Nabi Muhammad dapat memerintah sebahagian Semenanjung Arab di akhir hayatnya tetapi itu bukanlah tujuan utama dia diutuskan.

Apabila masyarakat telah beriman dengan tauhid yang betul dan terdidik dengan akhlak yang baik, tidak perlu kita risau lagi akan tertegaknya daulah Islamiah.

Apabila perlembagaan Islam telah termaktub dalam hati setiap umat Islam akan terzahirlah kehebatan dalam tingkah dan amalan mereka yang akan menjadikan mereka umat yang cemerlang. Apa perlunya perlembagaan yang bertulis kalau masyarakat tidak menghayati dan memandang tinggi perlembagaan itu.

ADS