Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merasa sedih dengan langkah pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) yang bertegas untuk mengambil mayat M Moorthy dari keluarganya yang begitu menyayangi beliau. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib ahli keluarga, terutama ibu dan isteri yang kehilangan orang tercinta.

Ibu dan isteri mana yang tidak hancur hatinya apabila anak dan suami yang dibanggakan kerana telah mendaki gunung Everest, telah meninggal dunia. Bertambah lagi kejutan apabila setelah kematian beliau, diberitahu oleh pihak berkuasa yang beliau telah menukar agamanya. Tentu bertambah sukar lagi untuk diterima apabila mayatnya pula dituntut oleh pihak berkuasa.

Islam bukanlah sekadar tentang birokrasi, tetapi amat menekankan sikap belas ihsan dan penyayang, serta peka tentang penderitaan manusia. Islam juga adalah suatu agama yang amat menekankan prinsip keadilan. Adapun keadilan ini adalah hak semua orang, iaitu Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddhist dan juga yang tidak beragama.

Amat malang sekiranya Jawi dilihat lebih bertegas dalam menggunakan kuasa dalam hal tertentu, tetapi gagal untuk bertegas dalam melaksanakan tanggungjawab dari segi kebajikan terhadap Moorthy semasa beliau dalam kesusahan dan semasa beliau dimasukkan ke hospital.

Alangkah baiknya jika Jawi atau jabatan agama yang lain dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan penderitaan keluarga Moorthy, dan bukannya menambahkan penderitaan dan kesengsaraan mereka.

Bukankah menggunakan hikmah itu sangat dituntut dalam Islam? Dalam isu perkuburan ini misalnya, kita dapati di negara Islam lain seperti di Senegal, umat Islam dan Kristian dikuburkan di kawasan perkuburan yang sama dan tidak timbul isu berebut jenazah untuk dikuburkan di kawasan berlainan.

Saya menyeru pihak Jawi agar tidak menyeksa jiwa keluarga Moorthy dengan mengambil mayat beliau. Sekiranya mahu, boleh saja pegawai-pegawai di Jawi menunjukkan kasih sayang mereka pada saudara baru ini dengan mengadakan sembahyang tahlil untuk beliau pada setiap malam atau mendokan kesejahteraan roh beliau pada setiap hari sampai bila-bila.

Pihak Jawi juga tentunya dapat berbakti kepada Moorthy dengan membantu keluarga yang telah beliau tinggalkan. Sesungguhnya banyak sekali cara untuk menunjukkan rasa kasih pada sesama Muslim dan sesama manusia.

ADS