Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Merujuk kepada tulisan Norhayati Kaprawi bertajuk Di manakah hikmah dan ehsan , saya rasa terpanggil untuk luahkan sedikit pendapat, mudah-mudahan ia boleh dijadikan iktibar dan panduan.

Islam diturunkan untuk memandu perjalanan hidup manusia ke arah kebaikan. Syariatnya menggariskan tatacara berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan dalam semua hal kehidupan dengan penuh hikmah, toleransi, bijak dan sebagainya.

Justeru itu, masalah M Moorthy ini harus diselesaikan dengan penuh bijak dan berhikmah. Manakala hikmah dan ehsan yang perlu dilakukan tidak semestinya membelakangkan tuntutan syariat Islam. Mayat orang Islam wajib disempurnakan mengikut syariat Islam kecuali apabila berlaku dharurat dalam hal ini. Tiada dolak dalih atau kompromi dalam melakukan syariat ini.

Saudara Moorthy adalah seakidah dan seiktiqad dengan seluruh umat Islam di Malaysia. Tuntutan kefardhuan dalam menguruskan jenazahnya adalah kewajipan seluruh umat Islam di Malaysia. Timbul persoalanya adakah Islam kejam atau umat Islam tidak berhikmah dan berehsan dalam menuntut mayat Moorthy dari ibu dan isterinya sedangkan ibunyalah yang memelihara beliau sejak dari kecil dan isterinya pula yang menjaganya.

Dalam penetapan hukum yang telah disyariatkan tidak timbul hikmah dan ehsan kerana Islam itu sendiri adalah hikmah dan ehsan.

Menguruskan jenazah Moorthy mengikut Islam adalah hikmah dan ehsan. Pertalian di antara Moorthy dengan ibu dan isterinya tidak putus. Tetapi akidah yang membezakan mereka. Apakah akal logik kita mengatakan Islam tidak hikmah dan ehsan jika jenazahnya diurus mengikut Islam sedangkan keluarganya menuntut

Syariat Islam wajib dipertahankan walaupun dalam apa keadaan hatta hingga terpaksa dikorbankan harta dan nyawa. Tuntutan yang dibuat oleh JAWI adalah betul dan wajar.

Kepada saudari Norhayati, jangan gunakan akal yang pendek untuk menyelesaikan masalah agama. Kerana akal kita bersifat baharu. Dan akal kita hanya mampu berfikir sekadar ilmu yang cetek yang ada pada kita.

Ketentuan Allah adalah mutlak. Suruhanya adalah jalan takwa kepadanya. Tidak boleh dinafikan atau dinisbahkan melalui akal yang sentiasa dibelenggu nafsu.

Wallahu A'lam.

ADS