Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Kita hidup di Malaysia sebuah negara yang aman di dunia. Namun ada juga pihak yang tidak bersyukur. Pastinya kerajaan tahu mengapa perlunya dinaikkan harga bahan api. Kerajaan bukan saja-saja nak susahkan rakyat jelata.

Berilah peluang kepada kerajaan untuk memajukan negara. Lihatlah Menara Berkembar KLCC yang menjadi kemegahan semua. Kalau bukan Barisan Nasional yang memerintah, tak kan dapat merasa adanya KLCC di Malaysia.

Begitu jugalah dengan Putrajaya. Semua tokoh negara asing yang melawat Malaysia mesti memuji pembangunan Putrajaya dan mahu pula membina bandar seumpamanya di negara masing-masing.

Jika kita semua protes tidak tentu pasal, negara jugalah yang akan rugi kerana produktiviti negara akan menjunam. Jangan memusnahkan ekonomi negara. Pergilah ke negara lain, semuanya memuji Malaysia bagus. Hairannya rakyat tempatan pula yang mengkritik kerajaan.

Kenaikan 30 sen harga minyak bukanlah banyak sangat. Jangan kata bantahan kenaikan harga minyak dibuat kerana kesiankan orang miskin. Sudah macam-macam yang dilakukan oleh kerajaan untuk membela orang miskin, umpamanya melalui Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan projek Tekun.

Bagaimanapun, mereka juga yang tidak mahu berubah maju. Masih mahu kekal menjadi bangsa subsidi. Oleh itu, perlu diubah mentaliti yang sering meminta-minta kepada kerajaan. Bagaimana hendak maju kalau beginilah sikapnya? Tengok sahaja negara Amerika, betapa hebatnya pembangunannya kerana rakyat mereka bukan rakyat subsidi.

Ramai antara kita yang berpeluang belajar tinggi-tinggi. Kalau tidak kerana BN, mungkin ada yang tidak dapat belajar sampai ke universiti. Pihak pembangkang mana mampu membina universiti. Hanya BN sahaja yang berjaya meningkatkan taraf pendidikan rakyat. Hari ini, banyak universiti asing mahu membuka kampus cawangan di Malaysia. Universiti Oxford pun akan membuka cawangannya di sini sikit hari lagi.

Seperkara lalu, Datuk Seri Rafidah Aziz telah dikritik hebat tetapi ketahuilah beliau telah membawa masuk berbilion-bilion ringgit pelaburan asing (FDI) ke Malaysia. Kalau beliau digugurkan dari MITI, siapa lagi yang mampu membawa FDI sebanyak itu ke Malaysia kalau bukan Rafidah? Oleh itu, Pak Lah memang bijak apabila beliau mengekalkan Rafidah kerana beliau tahu kelebihan Rafidah.

Datuk Seri Samy Vellu yang juga menjadi sasaran kritikan, juga tidak kurangnya. Beliau telah merancang pelbagai lebuhraya dalam negara kita. Biasalah, bila mahu menggunakan lebuhraya, kenalah membayar tol. Malah Samy Vellu telah berjaya mengeksport kepakaran negara kita membina lebuhraya sampai ke India.

Begitu juga dengan Pak Lah yang ada pihak yang mendakwa beliau 'lembek'. Sedarkah anda bahawa Pak Lah adalah ulama. Kita mesti sokong ulama. Mana ada pemimpin yang boleh menghasil idea macam Islam Hadhari. Sekarang ini, Mesir yang mempunyai Universiti Azhar pun mahu belajar Islam Hadhari dengan kita.

Mulai saat ini, berazamlah kita untuk mendokong segala usaha kerajaan untuk memajukan bangsa dan negara. Jangan percayakan tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan korup, itu dan ini. Bukan namanya pembangkang kalau bukan kerjanya menfitnah kerajaan.

Bersatu padulah sesama kita kerana perpaduan tonggak keutuhan ekonomi negara. Majulah Negara Untuk Bangsa Tercinta!

ADS