Pimpinan Umno menegaskan bahawa kenaikan harga minyak terpaksa dibuat bagi mengurangkan beban kerajaan menanggung subsidi minyak dan menggunakan sumber tersebut untuk membiayai projek pembangunan.
Tiadalah yang tidak benar dengan kenyataan ini melainkan yang benar belaka.
Hakikatnya, BN perlu memastikan projek-projek pembangunan mesti diteruskan walau dalam apa keadaan sekalipun. Sekiranya negara ini sudah muflis sekalipun, BN terpaksa juga meneruskan projek-projek pembangunan.
Projek pembangunan ini dikatakan bagi memenuhi keperluan rakyat. Apa yang tidak diberitahu kepada rakyat ialah, sebahagian besar dari perbelanjaan projek pembangunan ini akan disalurkan bagi membiayai operasi politik parti-parti komponen dalam BN. Tanpa projek, aliran tunai masuk ke akaun parti-parti komponen BN akan terhenti.
Apabila sumber ini terhenti, maka BN hanya akan jadi parti tin kosong. Tanpa peruntukan kewangan, cawangan-cawangan Umno di seluruh negara akan tutup kedai. Jentera pilihanraya juga akan lumpuh. Maka akhirnya BN akan jadi parti sayur yang lembik dan tidak mampu lagi bergerak cergas.
Kita semua maklum pembiayaan kos projek-projek pembangunan di negara kita jauh melebihi harga yang sepatutnya. Contohnya, sebuah dewan sekolah yang dibina ditender dengan harga RM100,000. Padahal ianya kelihatan hanya seperti sebuah bangsal keropok lekor yang boleh dibina dengan kos tidak sampai RM25,000.
Tentunya sebahagian besar daripada projek tersebut sudah dibayar kepada pihak-pihak yang berkepentingan politik. Itu hanya projek kecil. Bagaimana dengan begitu banyak projek-projek besar bernilai berpuluh bilion ringgit yang mengalami nasib yang sama?
Pihak kerajaan sebenarnya boleh menjimatkan lebih dari RM4.4 billion ringgit sekiranya amalan menggunakan projek-projek pembangunan awam untuk membiayai operasi parti-parti politik ini dihentikan.
Tetapi, BN lebih selesa menaikkan harga minyak untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai projek-projek pembangunan kerana itu merupakan "periuk nasi" bagi BN. Menghentikan projek pembangunan adalah ibarat menabur pasir ke periuk pemimpin-pemimpin politik BN.
