Parti Keadilan Rakyat turut bersedih dengan pemergian penulis veteran MGG Pillai pagi 28 April pada pukul 10.45 pagi akibat sakit jantung.
Sehingga ke saat akhir hidupnya, Pillai, 67, masih lagi bergiat aktif dalam penulisannya dalam memberi pendapat dan kritikan terhadap polisi-polisi kerajaan pemerintah. Dalam penulisannya, Pillai sering mendedahkan penyalahgunaan kuasa di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pillai, sepanjang hidupnya, percaya kepada keadilan yang tetap akan tercapai satu hari nanti.
Mendiang juga penulis yang memulakan budaya penulisan secara maya yang lebih bebas dan terus komited dengan penulisannya menerusi pelbagai laman-laman web, seperti di malaysiakini dan Malaysia Today.
Beliau jugalah yang memulakan forum perbincangan menerusi e-group Sangkancil yang disertai oleh golongan-golongan ilmiah dalam membincangkan isu-isu tertentu di negara ini.
Penulis ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat.
