Dalam sehari dua ini terdapat elemen-elemen yang jelas menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Majlis Tertinggi telah hilang kawalan terhadap situasi politik dan ekonomi negara. Sama ada ia berlaku secara sedar atau tidak sedar sukar ditanggap tetapi jelas ia telah berlaku.
Apabila Tun Dr Mahathir mengkritik secara terbuka kepimpinan Abdullah, ramai ahli MT yang menjawat jawatan menteri dan Menteri Besar tampil ke hadapan menyeru supaya dikukuhkan perpaduan parti dan meminta Dr Mahathir menggunakan saluran yang tepat.
Malangnya, apabila Dr Mahathir melembutkan kritikan beliau terhadap kepimpinan Abdullah pada sidang akhbar 9 Jun 2006, akhbar-akhbar yang di bawah pengaruh Pak Lah dan Umno memilih "mengenakan" beliau sebagai personaliti yang cepat berubah.
Namun yang jelas Abdullah dan MT Umno sudah hilang kawalan ke atas NST . Abdullah dan MT Umno juga hilang kawalan dan keupayaan apabila perbincangan dalam mesyuarat majlis Penerangan Umno terdedah di dalam akhbar NST .
Dalam konteks politik, Abdullah dan MT Umno sudah hilang wibawa dalam mempertahankan kepentingan politik pentadbiran negara dan parti. Bagaimanapun, apa yang berlaku rabu lalu merupakan letupan yang setelah lama terpendam dalam diri Dr Mahathir.
Apabila pertanyaannya tidak dijawab oleh pihak yang terbabit sama ada secara terbuka mahu pun tertutup, maka tentulah beliau berasa terhina dan dikhianati oleh orang yang beliau bantu menjadi Perdana Menteri.
Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada Rabu lalu sememangnya keras dan pedas. Tapi hal ini boleh dielakkan jika Majlis Tertinggi Umno mempunyai bijak pandai politik yang sudah boleh membaca perselisahan antara Dr Mahathir dan Abdullah dengan cepat dan mencari jalan penyelesaian.
Malangnya mereka tidak mampu membaca masalah ini atau sengaja membiarkan isu ini berlarutan. Sukar benarkah untuk ahli MT Umno mengambil inisiatif lebih awal menemui Dr Mahathir untuk menjelaskan isu-isu berbangkit?
Atau mungkinkah benar dakwaan seorang ahli Parlimen bahawa sebahagian mereka sendiri (ahli parlimen BN) tidak faham beberapa tindakan yang diambil Pak Lah? Mungkinkah MT Umno juga tidak paham dan tidak mampu menjelaskan kepada Dr Mahathir?
Apa hina sangatkan untuk Abdullah meluangkan masa menjelaskan kepada Dr Mahathir mengenai rasional tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan terutamanya dalam isu penjualan MV Augusta sebanyak 1 euro, penamatan kontrak Tengku Mahalel yang memimpin Proton mengaut keuntungan setipa tahun dan pembatalan jambatan bengkok.
Apakah memancing hingga ke pagi bersama menantunya atau bermain golf bersama ahli perniagaan, diplomat, ahli politik dan pegawai kanan kerajaan lebih penting daripada berbincang isu negara dengan bekas Perdana Menteri?
Sesungguhnya episod yang berlaku sejak Rabu lalu mencerminkan MT Umno bukan sahaja sudah tidak mempunyai wibawa, malah kemampuan mereka juga sudah diragui.
Dan apa yang berlaku beberapa hari ini juga mencerminkan Perdana Menteri telah gagal mengawal penasihat-penasihatnya dari mengeruhkan lagi suasana yang ada.
Dengan memecat Tan Sri Abdullah Ahmad dari jawatan Ketua Pengarang NST , menggugurkan Datuk Paduka Ibrahim Ali yang menang dalam pemilihan Umno Bahagian, membiarkan Tan Sri Isa Samad dimalukan dan "membantu" menantu sendiri menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, jelas sekali parti Melayu terbesar itu hanya menunggu saat dan ketika untuk mengulangi pertarungan Hussien Onn-Sulaiman Palestin atau Mahathir-Ku Li.
Mungkin ini jalan terbaik untuk mengukuhkan semula kedudukan Abdullah. Hussien Onn melaluinya, Mahathir juga melaluinya. Mungkin kini giliran Abdullah untuk melalui proses pengiktirafan demokrasi ini.
