Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertelingkahan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi lebih panas apabila pimpinan-pimpinan PAS menghadiri satu ceramah Dr Mahathir di Taman Melawati baru-baru ini.

Desas-desus dari dalam PAS mengatakan bahawa tindakan itu hanya muslihat politik. Bak kata pepatah Arab, 'lawan kepada lawanku ialah kawanku'.

Saya tidak terkejut sekiranya itu pendirian Umno, kerana sebagaimana sudah lama dituduh oleh pimpinan PAS sendiri, Umno mengamalkan politik Machiavelli di mana matlamat menghalalkan cara. Yang mengejutkan saya ialah PAS yang selama ini saya hormati sebagai parti politik berpaksikan Islam, turut terjerat dalam budaya politik yang sama.

Ada pula suara yang menyatakan, ini sama sahaja dengan pendirian PAS ketika menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 ataupun Team B Umno pada 1990 dahulu. Tetapi kedua-dua peristiwa tersebut bukan semata-mata strategi politik, tetapi juga berasaskan prinsip di atas kerakusan Dr Mahathir yang merosakkan satu persatu institusi negara.

Malah, pada 1998 PAS tidak berpendirian bahawa 'lawan kepada lawanku ialah kawanku'. Presiden PAS pada waktu itu, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor dengan serta-merta memberikan sokongan kepada Anwar kerana mereka sahabat seperjuangan dari zaman ABIM, meskipun kemudian memilih jalan politik yang berbeza. Persahabatan mereka diikat oleh prinsip, bukan atas dasar oportunis politik.

Saya tidak sekali-kali mengatakan bahawa pimpinan Pak Lah dan kerajaan Islam Hadharinya tidak boleh dikritik. Tetapi sekiranya PAS benar-benar mahu menjadi kerajaan alternatif atau pembangkang yang bertanggungjawab, PAS perlu membuka mata dan menilai situasi politik dengan seadilnya.

Kini rakyat sudah nampak reformasi yang dibawa saf pimpinan muda PAS yang mendapat perhatian meluas tahun lepas hanyalah kosmetik.

Beberapa perubahan yang dibawa oleh Pak Lah sememangnya positif, dan banyak perubahan- perubahan tersebutlah yang kini menjadi bahan kritikan Dr Mahathir. Malangnya Pak Lah tidak menonjolkan kepimpinan yang tegas, dan Dr Mahathir bijak mengambil peluang. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, sementara ketegangan kaum dan agama yang meningkat, Mahathir menonjolkan dirinya sebagai wira rakyat.

Kini PAS tersilap langkah. PAS termakan umpan Dr Mahathir, dan memberikan Dr Mahathir kredibiliti yang tidak dimilikinya selama ini. PAS kini bersedia memaafkan seorang pemimpin yang pernah digelarnya Mahazalim dan Mahafiraun semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

Lord Palmerston, negarawan British, pernah berkata: 'Tiada sahabat kekal dan tiada musuh kekal dalam politik. Hanya kepentingan yang kekal abadi.'

Adakah kepentingan kekal PAS ialah menyerang Umno tanpa mengikut prinsip semata-mata? Atau adakah kepentingan sebenar PAS ialah untuk menjadi sebuah jemaah Islam yang bertanggungjawab?

Tepuk dada, tanya selera.

ADS