Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya ingin merujuk kepada laporan mengenai cadangan membina pusat latihan sukan berprestasi tinggi bernilai setengah billion ringgit di Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, dekat London.

Kenyataan bekas Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB) Tan Sri Dr BC Sekhar yang menafikan bahawa aset dan fasiliti di TARRC adalah milik mutlak kerajaan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada hari Rabu adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan Malaysia.

Sekhar, yang pernah berkhidmat di TARRC pada 1949, menafikan kenyataan Azalina yang sebelum ini mendakwa aset TARRC, termasuk Estet Brickendonbury, Lodge Cottage, pangsapuri sembilan tingkat Hale Court serta sebuah rumah berkembar di St Leonards Road yang dibeli pada 1971 adalah milik kerajaan.

Menurut beliau, pembangunan asset dan mercu tanda industri getah negara itu dibiaya menggunakan hasil cukai atau potongan keuntungan jualan getah pengusaha ladang getah, termasuk pekebun kecil.

Menurut Sekhar lagi, Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 menakrifkan secara jelas bahawa Lembaga Getah Malaysia selaku badan berkanun yang menguruskan TARRC, harus memastikan ia hanya digunakan sebagai pusat R&D sektor perladangan.

Kenyataan Sekhar ini sedikit sebanyak telah memburukkan lagi krisis kredibiliti kerajaan Malaysia yang semakin menjunam hasil dari serangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas penggantinya baru-baru ini.

Adalah amat aneh bagaimana maklumat yang begitu asas seperti hak milik TARRC tidak diteliti terlebih dahulu oleh mereka yang bertanggungjawab hingga menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan cadangan ini.

Kemelut ini sedikit sebanyak telah memburukkan lagi imej Najib yang sebelum ini jatuh teruk akibat kenyataannya supaya rakyat jelata "mengubah gaya hidup" akibat kenaikan harga bahan api.

Namun apakah kontroversi berkaitan TARRC ini sememangnya telah dirancang rapi semata-mata untuk menjatuhkan Najib? Umum mengetahui bahawa laporan mengenai TARRC telah disiarkan terlebih dahulu oleh The Straits Times , Singapura, pada 27 Mei.

Apakah tujuan berita ini digembar-gemburkan oleh Straits Times sedangkan umum maklum bahawa perdana menteri Malaysia sendiri tidak begitu gemar dengan projek-projek mega, lebih-lebih lagi di tengah-tengah kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia akibat kenaikan kos sara hidup angkara kenaikan harga minyak.

Apatah lagi, TARRC tidak pun termaktub antara projek yang perlu dimajukan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Bagaimanakah ada asap tidak berapi? Fikir-fikirkan lah.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS