Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masa era Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa, hampir semua media cetak dan elektronik dikawal dan dikuasai penuh oleh pememerintah. Harapan parti pembangkang hanyalah kepada medium ceramah, Internet dan akhbar parti yang terhad edarannya.

Dengan sumber kewangan yang terhad parti pembangkang hanya dibenarkan berkempen dalam masa lapan hari sahaja. Dalam keadaan serba kekurangan dan terbatas inilah parti pembangkang cuba berlawan dengan parti pemerintah. Apakah pertandingan seperti ini boleh dianggap sebagai

pertandingan secara anak jantan?

Demokrasi adalah satu mekanisma yang terbaik untuk mempastikan kita sentiasa mendapat pemimpin yang terbaik. Melalui demokrasi kita dapat menukar pemimpin tanpa pertumpahan darah dan kita dapat memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin.

Walaupun demokrasi itu pada asalnya bagus tetapi banyak pemimpin yang berkuasa telah mencabul demokrasi dengan sewenang-wenangnya dengan demokrasi yang telah mereka ubahsuai bagi memastikan keputusan peti undi berpihak kepadanya.

Zaman Dr Mahathir berkuasa dulu, demokrasi ditafsirkan mengikut persepsi beliau. Ungkapan demokrasi digunakan untuk menghalalkan perkara yang bertentangan dengan semangat demokrasi sebenar. Akhirnya yang ada hanyalah demokrasi acuan Dr Mahathir bukannya demokrasi acuan kita.

Dr Mahathir telah mengubah demokrasi sehingga menjadi senjata yang ampuh untuk mempertahankan kuasanya. Sehingga beliau begitu berbangga untuk menggelarkan diri beliau sebagai satu-satunya diktator yang datang dari negara demokrasi. Beliau bukan saja menyekat kebebasan bersuara, mengawal dan menguasai media perdana malah di zamannya juga kita kenali undi hantu, undi pos yang tidak telus, dilarang berhimpun tanpa permit, mengawal badan perundangan dan kehakiman, menggubal undang-undang yang pelik dan sebagainya.

Sekarang Dr Mahathir dapat merasakan bagaimana suara dan kritikannya amat sukar untuk sampai kepada rakyat jelata. Sekarang beliau tahu bagaimana demokrasi ciptaanya itu tidak memberi ruang kepadanya bersuara.

Saya tidak nampak negara kita boleh mencapai cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dihasratkan oleh Pak Lah tanpa kita menghayati demokrasi sebenar. Kita bimbang jika kita mengenepikan sifat anak jantan dalam pilihanraya, akhirnya kita akan dapat pemimpin yang jahat dan tidak bermoral memimpin negara kita nanti.

ADS